“Call Tiap Waktu Solat Ya..” – Nampak Macam Helah Bodoh, Tapi Dah ‘Licinkan’ RM220,000 Duit Mangsa!

18

Seorang pegawai tadbir menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebuah bank, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM220,000.

Menerusi Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 31 tahun itu telah hadir dilaporkan ke Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 3.15 petang, semalam.

Jelas beliau, suspek telah menghubungi mangsa pada 3 September lalu dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai AMLA dari sebuah bank.

Foto : Google

Katanya, sindiket tersebut mendakwa mangsa mempunyai akaun di sebuah bank di Johor dan maklumat peribadinya didapati terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta memberi keterangan kepada polis dan panggilan seterusnya disambung kepada individu mengaku sebagai Sarjan Khairudin yang kononnya bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Sindiket kemudian memaklumkan kononnya mangsa terikat dengan Akta 88 iaitu Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Difahamkan, suspek juga telah meminta mangsa menyerahkan butiran peribadi bagi semua akaun bank termasuk Tabung Haji dan ASB, selain diminta memberitahu jumlah keseluruhan simpanan mangsa.

Selain itu, mangsa juga diarahkan untuk menghubungi suspek setiap kali masuk waktu solat pada setiap hari.

Azli berkata, mangsa diberitahu bahawa wang simpanannya dipercayai terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram sebelum diperkenalkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai Asisten Superintendan Rashid, kononnya untuk membantu menyelesaikan kes tersebut di mahkamah.

Di samping itu, suspek juga mengarahkan mangsa mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM25,000 dari ASB dan RM5,000 dari Tabung Haji untuk dipindahkan ke akaun yang dikatakan milik juruaudit Bank Negara.

“Pada 14 September lalu, mangsa membuat dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM30,000 ke dalam akaun sebuah bank.

“Selepas dua hari, suspek memaklumkan terdapat dua wang kertas yang pindahkan itu terbabit dengan penggubahan wang haram,” jelasnya.

Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa supaya membuat semakan di bank bagi mengetahui jumlah pinjaman yang layak diperoleh.

Tambahnya lagi, mangsa memaklumkan kepada sindiket yang dia mendapat kelayakan pinjaman sebanyak RM200,000 daripada sebuah bank.

Suspek turut menasihatkan mangsa supaya tidak memberitahu pihak bank atau majikan tentang tujuan pinjaman tersebut. Pada 8 Oktober lalu, pinjaman berjumlah RM194,461.38 telah diluluskan.

“Bermula 8 hingga 14 Oktober mangsa diarahkan membuat tujuh transaksi pemindahan wang berjumlah RM190,000 ke dalam satu akaun bank.

“Mangsa menyedari diperdaya selepas dapati nombor telefonnya disekat oleh ASP Rashid semasa melapor diri.

“Mangsa juga gagal menghubungi Sarjan Khairudin dan akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian sebanyak RM220,000,” tambahnya lagi.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala sumber kewangan yang digunakan mangsa terdiri daripada wang simpanan serta pinjaman peribadi.

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.