Malaysia Kini Di Ambang Naik Taraf Penarafan Berdaulat
Malaysia berpotensi mendapat peningkatan penarafan berdaulat kepada ‘BBB+’ ekoran hutang kerajaan yang dijangka berkurangan secara berperingkat, selain pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang hampir menyamai paras median negara.
Memetik laporan Berita Harian, Fitch Ratings menjelaskan bahawa prospek ini kukuh susulan pengurusan fiskal yang stabil serta pertumbuhan ekonomi positif.

Meskipun hutang kerajaan dijangka melebihi paras median 58% daripada KDNK bagi negara penarafan ‘BBB’ pada 2025, namun trend penurunan secara berperingkat menunjukkan hala tuju kewangan yang sihat.
Menurut Pengarah Bersekutu dan Penganalisis Kedaulatan Fitch Ratings, Chen berkata, Belanjawan 2026 menunjukkan usaha kerajaan untuk terus mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat, dengan sasaran 3.5 peratus daripada KDNK, sedikit rendah berbanding anggaran awal Fitch iaitu 3.6 peratus.
“Belanjawan itu juga mengekalkan sasaran jangka sederhana untuk menurunkan defisit kepada tiga peratus daripada KDNK, walaupun tanpa tempoh masa khusus,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Sementara itu, beliau menerangkan bahawa berdasarkan rancangan fiskal jangka sederhana, kerajaan menetapkan purata defisit sekitar 3.2 peratus daripada KDNK bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Jika usaha konsolidasi diteruskan secara berterusan, defisit dijangka boleh turun menghampiri tiga peratus menjelang 2028.
Tambah Chen, kerajaan kini melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi yang dijangka menjimatkan sekitar RM15.5 bilion setahun, bersamaan 0.8 peratus daripada KDNK pada 2025.
Difahamkan, penjimatan tersebut akan digunakan semula untuk program kebajikan rakyat, sementara perbelanjaan keseluruhan dijangka meningkat kira-kira 1.7 peratus.
Jelasnya lagi, subsidi bersasar untuk petrol RON95 dijangka menghasilkan penjimatan yang lebih rendah berbanding pelaksanaan subsidi diesel, namun langkah ini tetap membantu kerajaan dalam usaha menstabilkan kedudukan fiskal negara.
Fitch menjangka, dengan ekonomi yang kekal stabil dan pengurusan fiskal yang berdisiplin, keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia akan terus meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.