Rayuan Ditolak, Ivory Properties Bakal Disingkir Dari Bursa Malaysia Minggu Depan

14

Bursa Malaysia telah menolak permohonan lanjutan masa oleh Ivory Properties Group Bhd untuk mengemukakan pelan pemulihan syarikat, menyebabkan syarikat itu bakal dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama pada 14 Oktober ini.

Memetik laporan Bernama, Bursa Malaysia dalam kenyataan di laman rasmi berkata, saham Ivory Properties akan digugurkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia selepas tamat tempoh dua hari dagangan daripada tarikh notis berkenaan, iaitu pada 14 Oktober 2025.

Foto : BusinessToday

Kenyataan itu turut menyebut bahawa saham syarikat yang kini disimpan di bawah Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd akan ditarik balik selaras dengan proses penyahsenaraian tersebut.

“Syarikat akan terus mengemas kini dan mengekalkan maklumat pemegang saham dalam daftar mereka.

“Meskipun telah dinyahsenarai, syarikat akan terus wujud sebagai entiti tidak tersenarai. Ia masih boleh meneruskan operasi perniagaan dan usaha penstrukturan korporat, manakala pemegang saham masih berpeluang menikmati ganjaran berdasarkan prestasi syarikat,” kata Bursa.

Namun begitu, selepas tarikh penyahsenaraian, saham Ivory Properties tidak lagi boleh didagangkan di Bursa Malaysia.

“Kepentingan dan hak pemegang saham tetap dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016,” ujarnya lagi.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.