Air Selangor Catat Sejarah, Terbit Sukuk SRI Terbesar Bernilai RM1.5 Bilion !

16

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah melaksanakan penerbitan tranche ketujuh di bawah Program Sukuk Kelestarian Air Selangor bernilai keseluruhan RM1.5 bilion, sekali gus menjadikannya terbitan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab SRI terbesar syarikat itu setakat ini.

Menerusi kenyataan yang dilaporkan oleh Bernama, syarikat berkenaan memaklumkan bahawa tranche itu terdiri daripada lima siri sukuk dengan tempoh matang antara tujuh hingga 25 tahun.

Foto : The Malaysian Reserve

Difahamkan, Program Sukuk Murabahah Air Selangor kini berada pada terbitan kelapan dengan had program dinaikkan kepada RM20 bilion bagi membiayai infrastruktur jangka panjang serta menyokong usaha kelestarian syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali memaklumkan bahawa sambutan positif terhadap penerbitan sukuk SRI sebelum ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kekukuhan kewangan syarikat dan komitmennya terhadap pembangunan mampan.

Jelas beliau, kali ini menerima permintaan kukuh daripada pelabur dengan lebihan langganan sebanyak 2.51 kali, melibatkan jumlah nilai perolehan kontrak berjumlah RM3.77 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukan Air Selangor dalam pasaran sukuk mampan.

“Program Sukuk Murabahah itu turut menerima pengukuhan semula penarafan kredit AAA jangka panjang dengan tinjauan stabil oleh RAM Rating Services Bhd pada 28 Ogos 2025, membuktikan asas kredit program yang kukuh,” katanya.

Menurut Air Selangor, hasil kutipan daripada penerbitan sukuk SRI ini akan disalurkan kepada projek-projek yang memenuhi kriteria kelestarian di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan syarikat.

Selain itu, dana daripada sukuk tersebut akan digunakan untuk membiayai projek utama seperti Skim Bekalan Air Rasau dan program penggantian paip, selaras dengan usaha syarikat memperkukuh pengurusan sumber air serta memastikan bekalan air berterusan untuk masa depan.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.