Setakat Ogos 2025, Malaysia merekodkan penurunan defisit fiskal kumulatif sebanyak 10.6 peratus kepada RM49.4 bilion berbanding tahun lalu, sekali gus menunjukkan kerajaan berada di hala tuju yang betul untuk mencapai sasaran defisit tahunan RM80 bilion atau 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Berdasarkan laporan Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran hari ini, CIMB Investment Bank Bhd memaklumkan bahawa Malaysia merekodkan defisit bulanan lebih kecil sebanyak RM2.7 bilion pada Ogos, didorong oleh penurunan hasil sebanyak 0.3 peratus dan kenaikan perbelanjaan sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Hasil kerajaan meningkat kepada purata RM30 bilion bagi tempoh Julai hingga Ogos, berbanding RM25 bilion pada separuh pertama 2025, hasil peluasan pelaksanaan e-invois dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.
Menurut laporan tersebut, pasaran masih menunjukkan sikp berhati-hati susulan kemungkinan penawaran bon koporat bernilai RM10 bilion hingga RM15 bilion bulan ini serta pembukaan semula lelongan MGS 30 tahun siri 07/55 yang dijadualkan pada hari ini.
Difahamkan, ini merupakan terbitan terakhir bagi bon tempoh 30 tahun untuk tahun ini, dengan nilai tender awam sebanyak RM3 bilion dan penempatan persendirian berjumlah RM2 bilion.
Menjelang Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober, CIMB meramalkan kerajaan akan menyeimbangkan dasar yang menyokong pertumbuhan dengan usaha berterusan memperkukuh kedudukan fiskal, serta menyemak turun sasaran defisit kepada 3.6% daripada KDNK.
Selain itu, laporan tersebut turut menjangkakan bahawa kedudukan fiskal akan terus stabil, disokong oleh peningkatan hasil melalui perluasan asas percukaian serta penyesuaian semula subsidi tenaga kepada bentuk bantuan tunai bagi menyokong perbelanjaan isi rumah.
Dalam masa yang sama, perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat seiring dengan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.