Lebih RM 500,000 Lesap ! Peniaga Wanita Jadi Mangsa Scam ‘Pelaburan Hantu’

83

Dalam sekelip mata, seorang peniaga wanita kehilangan RM571,242 selepas terjerat dengan sindiket pelaburan palsu yang dijalankan melalui platform Facebook.

Menerusi laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 55 tahun mula berhubung dengan suspek yang tidak dikenali menerusi WhatsApp selepas tertarik dengan tawaran pelaburan berpulangan tinggi yang diiklankan pada 16 Mac 2024.

“Antara 10 hingga 31 Julai lalu, mangsa membuat beberapa transaksi ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM571,242. Mangsa kemudian melihat paparan keuntungan sebanyak RM804,000 dalam aplikasi pelaburan tersebut.

“Bagaimanapun, apabila cuba mengeluarkan wang tersebut akaun berkenaan didapati disekat. Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, kes terbabit kini sedang disiasat oleh pihak polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar serta boleh merujuk portal rasmi Cyber Crime Alert untuk mendapatkan info terkini berkenaan jenayah komersial.

Mangsa penipuan turut dinasihatkan supaya bertindak segera dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 agar pihak berkuasa dapat menyekat pengaliran keluar wang secepat mungkin.

Sumber : Bernama

Penafian: Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.