Finfluencer : Kenyataan Rasmi AA

1,334

KENYATAAN RASMI
Asyraf bin Arsad / Marubozu / Superscalper
Tarikh: 17 Ogos 2025

Merujuk kepada garis panduan terkini oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang berkuat kuasa mulai 1 November 2025 berkaitan individu dan entiti yang terlibat dalam penyampaian maklumat kewangan (finfluencer), saya, Asyraf bin Arsad, ingin mengesahkan bahawa saya dan mana-mana entiti di bawah kelolaan saya termasuk Marubozu dan Superscalper, telah menamatkan segala bentuk kerjasama atau hubungan dengan mana-mana broker, sama ada yang beroperasi di dalam atau di luar negara.

Sejak awal penglibatan kami dalam industri ini, fokus utama kami adalah untuk mendidik masyarakat berkenaan ilmu teknikal analisis (TA) dan asas pelaburan yang sah, berpandukan undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di Malaysia.

Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kami telah melaksanakan beberapa inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk program pendidikan percuma yang dibiayai melalui sumbangan luar, termasuk dari pihak bank dan broker. Walaubagaimanapun, sebahagian bentuk kerjasama tersebut telah dihentikan sepenuhnya seawal bulan April 2025, susulan pengumuman rasmi SC pada 27 Mac 2025 yang memperincikan larangan dan batasan berkaitan promosi broker oleh pihak ketiga.

Dengan kenyataan ini, saya berharap tiada lagi isu atau kekeliruan yang akan timbul pada masa hadapan, dan saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pihak tidak bertanggungjawab atau ‘scammer’ yang mungkin menyalahgunakan nama saya atau syarikat saya untuk tujuan promosi broker atau pelaburan.

Saya juga ingin menyeru kepada semua pelabur dan trader agar sentiasa membuat semakan dengan pihak SC terlebih dahulu sebelum membuka sebarang akaun pelaburan atau berurusan dengan mana-mana broker.

Sekian, terima kasih atas kepercayaan dan sokongan anda.

Asyraf bin Arsad
Marubozu | Superscalper