Sebanyak RM3.1 bilion deposit berjaya dikumpulkan oleh lima bank digital yang kini beroperasi di Malaysia sehingga September 2025.
Menerusi Bernama, Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan bahawa GX Bank, AEON Bank, Boost Bank, KAF Digital Bank dan Ryt Bank kini beroperasi dengan jumlah pelanggan mencecah 1.97 juta orang.
“Ini mencerminkan pertumbuhan asas pelanggan yang kukuh. Hampir 60 peratus daripada pelanggan ini terdiri daripada golongan sasar iaitu mereka yang kurang akses kepada kemudahan kewangan,” menurut MoF.
MoF berkata, semua bank digital kini beroperasi sepenuhnya melalui platform dalam talian, menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk tabung simpanan yang diwujudkan untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan pengguna.

Selain kemudahan simpanan dan transaksi pembayaran, bank digital juga telah mula melancarkan produk pembiayaan secara berperingkat, dengan fokus utama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya perniagaan baharu, pekerja sendiri serta pemilik tunggal.
“Melalui kerjasama dengan syarikat insurans, sesetengah bank digital turut menawarkan perlindungan mikro insurans dengan premium berpatutan untuk melindungi pengguna daripada kerugian yang disebabkan penipuan siber, transaksi tidak sah atau kemalangan,” jelas MoF.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.