Saham Global Tumpas, Emas Pula Melonjak — Apa Sebenarnya Berlaku?

12

Ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) ekoran ancaman tarif berkaitan usaha Presiden Donald Trump memperoleh Greenland telah menggoncang sentimen pasaran global. Akibatnya, logam berharga melonjak ke paras tertinggi baharu manakala saham-saham dunia merosot.

Sepanjang sesi dagangan, indeks utama AS berada dalam keadaan negatif, dan S&P 500 sebagai penanda aras pasaran ditutup dengan kejatuhan melebihi dua peratus.

Foto : Google

Kebimbangan di Wall Street serta reaksi berantai ke pasaran kewangan lain turut mengingatkan penganalisis kepada episod pada April lepas, apabila pengumuman “Liberation Day” oleh Trump mencetuskan kekalutan pasaran sebelum beliau menarik balik ancaman perdagangan yang paling tegas.

Dalam masa yang sama, Trump dijangka terus mencuri perhatian di Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung hari ini, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan reaksi pasaran yang lebih besar.

Art Hogan dari B. Riley Wealth Management menyifatkan pendekatan Trump terhadap Eropah seolah-olah melemahkan hubungan Amerika Syarikat dengan sekutu utamanya.

“Melainkan beliau menarik balik sebahagian retorik yang digunakan, saya rasa keadaan hanya akan menjadi lebih buruk,” katanya.

Pasaran saham utama di Eropah turut mengalami tekanan. Di London, penutupan dagangan menyaksikan penurunan sekitar 0.7 peratus, manakala Frankfurt mencatat susut sekitar 1.0 peratus.

Sebelum itu, bursa Tokyo juga tidak terlepas daripada penjualan, walaupun pasaran Asia secara keseluruhan berakhir secara bercampur-campur.

Sementara itu, emas yang sering dilihat sebagai aset perlindungan, meneruskan rentak kenaikannya dengan mencatat rekod baharu melepasi AS$4,750 seauns.

Perak juga menunjukkan kekuatan serupa apabila harga melonjak menembusi paras AS$95.50 seauns.

Kebimbangan perdagangan yang semakin meruncing turut mendorong kenaikan pada hasil bon utama. Hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun naik melepasi 4.29 peratus, manakala hasil bon jangka panjang Jepun pula mencecah paras tertinggi sepanjang sejarah.

Di pasaran ekuiti, saham teknologi utama seperti Apple, Amazon dan Nvidia jatuh lebih daripada tiga peratus. Pada masa yang sama, saham industri 3M merosot sekitar 7.0 peratus susulan kebimbangan mengenai prospek syarikat itu.

“Secara keseluruhan, ini adalah krisis buatan manusia dan penjualan berterusan pada Selasa menunjukkan bahawa ancaman AS terhadap Greenland serta kesannya ke atas pasaran kewangan mungkin akan berlarutan jika keadaan tidak segera diredakan,” kata Kathleen Brooks, pengarah penyelidikan di XTB.

Pada awal tahun, pasaran bergerak positif hasil keyakinan baharu terhadap sektor kecerdasan buatan. Namun, sentimen pelabur mula bertukar berhati-hati apabila Trump meningkatkan tuntutan untuk mendapatkan Greenland atas dakwaan berkaitan keselamatan negara Amerika Syarikat.

Setelah cadangan tersebut ditolak oleh ibu kota-ibu kota utama di Eropah, Trump pada Sabtu mengumumkan bahawa lapan negara termasuk Denmark, Perancis, Jerman dan Britain bakal dikenakan tarif sebanyak 10 peratus bermula 1 Februari, sebelum dinaikkan lagi kepada 25 peratus pada 1 Jun.

Keputusan tersebut mencetuskan keraguan mengenai masa depan perjanjian perdagangan AS–EU yang dicapai tahun lalu, yang mana proses ratifikasinya turut digantung oleh Parlimen Kesatuan Eropah pada Selasa.

Di Davos, Switzerland, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menegaskan bahawa tindakan mengenakan tarif hukuman terhadap negara-negara Eropah bersekutu atas isu Greenland adalah satu “kesilapan,” sambil memberi amaran kepada Washington mengenai implikasinya.

“Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat telah bersetuju dengan satu perjanjian perdagangan pada Julai lalu. Dan, dalam politik seperti dalam perniagaan — perjanjian adalah perjanjian. Apabila rakan bersalaman, ia mesti membawa makna,” jelasnya.

Pada Isnin, Ketua Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent menegaskan bahawa tindakan balas berupa tarif oleh Kesatuan Eropah akan menjadi keputusan yang “tidak bijak”.

Sehari selepas itu, Trump mengasah lagi retoriknya terhadap Perancis dengan memberi amaran bahawa wain dan champagne dari negara tersebut bakal dikenakan tarif setinggi 200 peratus, susulan keengganan Paris menyertai sebuah entiti yang digelar “Board of Peace”.

Entiti itu, yang asalnya ditubuhkan untuk menyelia proses pemulihan Gaza, kini mempunyai mandat global yang lebih luas dengan Trump bertindak selaku penggerak utamanya.

Angka utama sekitar 2115 GMT:

New York – Dow: TURUN 1.8 peratus kepada 48,488.59 (penutupan)

New York – S&P 500: TURUN 2.1 peratus kepada 6,796.86 (penutupan)

New York – Nasdaq Composite: TURUN 2.4 peratus kepada 22,954.32 (penutupan)

London – FTSE 100: TURUN 0.7 peratus kepada 10,126.78 mata (penutupan)

Frankfurt – DAX: TURUN 1.0 peratus kepada 24,703.12 (penutupan)

Paris – CAC 40: TURUN 0.6 peratus kepada 8,062.58 (penutupan)

Tokyo – Nikkei 225: TURUN 1.1 peratus kepada 52,991.10 (penutupan)

Hong Kong – Hang Seng Index: TURUN 0.3 peratus kepada 26,487.51 (penutupan)

Shanghai – Composite: MENDATAR pada 4,113.65 (penutupan)

Euro/dolar: NAIK kepada AS$1.1719 daripada AS$1.1646 pada Isnin

Pound/dolar: NAIK kepada AS$1.3433 daripada AS$1.3425

Dolar/yen: NAIK kepada 158.21 yen daripada 158.11 yen

Euro/pound: NAIK kepada 87.23 pence daripada 86.74 pence

Minyak Brent Laut Utara: NAIK 1.5 peratus kepada AS$64.92 setong

West Texas Intermediate: NAIK 1.5 peratus kepada AS$60.34 setong

Sumber : Berita Harian – AFP

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.