Risiko Terbakar! BMW Tarik Balik Ratusan Ribu Kenderaan Di Seluruh Dunia

23

Pengeluar automotif mewah BMW mengumumkan penarikan balik sejumlah besar kenderaan di peringkat global selepas satu isu teknikal dikesan yang berpotensi mencetuskan kebakaran, menurut laporan Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Di Jerman sahaja, BMW memaklumkan bahawa sebanyak 28,582 buah kenderaan dikenal pasti terlibat dalam tindakan tersebut. Walaupun jumlah sebenar di seluruh dunia tidak diperincikan oleh syarikat itu, sebuah portal industri automotif Jerman, kfz-Betrieb, menganggarkan angka tersebut boleh mencecah sekitar 575,000 unit.

Foto : Reuters

Hasil pemeriksaan mendapati masalah berpunca daripada kegagalan pada suis solenoid yang berfungsi mengawal aliran elektrik dalam sistem litar kenderaan.

BMW memaklumkan bahawa beberapa model berada dalam senarai terlibat, antaranya 2 Series Coupé, sebahagian varian 3 Series, 4 Series dan 5 Series, selain 6 Series Gran Turismo, 7 Series versi sedan, serta model X4, X5, X6 dan Z4.

Menurut syarikat itu, penggunaan yang kerap boleh menyebabkan komponen suis tersebut haus lebih cepat daripada biasa, sekali gus berisiko menyukarkan enjin dihidupkan atau langsung gagal berfungsi.

Masalah itu juga berpotensi mencetuskan litar pintas yang boleh mengakibatkan haba berlebihan tertumpu pada motor penghidup. Dalam keadaan paling ekstrem, situasi ini boleh membawa kepada kebakaran ketika kenderaan sedang digunakan, jelas BMW.

Pemandu mungkin mengesan kehadiran asap sama ada semasa memandu atau selepas meninggalkan kenderaan, dan atas sebab itu, BMW menasihatkan agar enjin tidak dibiarkan terus hidup tanpa pemantauan.

Menurut BMW, kenderaan yang menggunakan geganti penghidup yang dikeluarkan dalam tempoh antara Julai 2020 hingga Julai 2022 berada dalam kumpulan yang berisiko. Selain itu, beberapa unit lain juga boleh terlibat jika pernah dipasang komponen penghidup yang bermasalah ketika menjalani kerja pembaikan sebelum ini.

Sebelum ini, pada September lalu, pengeluar tersebut turut melaksanakan penarikan balik berskala besar membabitkan ratusan ribu kenderaan berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kebakaran berpunca daripada isu pada motor penghidup.

Dalam insiden berkenaan, siasatan mendapati air boleh memasuki bahagian tertentu motor penghidup pada model terlibat, yang seterusnya menyebabkan berlakunya kakisan pada komponen tersebut.

Sumber : Bernama -dpa-

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.