Pembayaran Digital Kini Nadi Utama Pertumbuhan Ekonomi Malaysia

8

Urusan pembayaran hari ini bukan lagi sekadar soal jual beli, sebaliknya memainkan peranan besar sebagai pemacu kepada perkembangan ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Paydibs, Tee Kean Kang menjelaskan, kelancaran aliran tunai harian menjadi faktor utama yang menentukan sama ada sesebuah perniagaan mampu berkembang atau sebaliknya.

Foto : Gambar Hiasan

Beliau turut menegaskan, proses pembayaran yang rumit atau mengambil masa panjang berisiko mengganggu kelancaran operasi, meningkatkan perbelanjaan serta menekan keuntungan syarikat.

“Pembayaran bukan hanya fungsi belakang tabir kerana ia menyokong daya tahan ekonomi, produktiviti dan keterangkuman kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selari dengan agenda nasional termasuk MyDIGITAL dan Rancangan Malaysia Ke-13, Paydibs memberi penekanan kepada pembangunan sistem pembayaran yang cekap dan berdaya saing.

Menurutnya lagi, integrasi terus dengan rangkaian pembayaran nasional seperti FPX membantu mempercepatkan proses transaksi, pada masa sama mengurangkan kos operasi serta memperkukuh aliran tunai perniagaan.

“Penjimatan kos ini boleh dilaburkan semula untuk peralatan, pengembangan tenaga kerja atau modal kerja memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

“Selain itu, pembayaran digital yang menyokong dompet antarabangsa seperti Alipay+ membolehkan perniagaan tempatan mengakses pelanggan serantau dan global, meningkatkan peluang eksport dan perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Menurut Tee, seiring pertumbuhan ekonomi digital, peranan sistem pembayaran yang dibangunkan secara strategik bukan sekadar memudahkan pergerakan dana, malah berfungsi mengukuhkan ketahanan ekonomi serta membina keyakinan dalam kalangan pemain perniagaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Paydibs, selaku penyedia perkhidmatan pembayaran yang berdaftar di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, menawarkan sokongan kepada perniagaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga syarikat korporat besar untuk menerima transaksi digital dengan selamat, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Infrastruktur ini adalah infrastruktur ekonomi sebenar yang menyokong pertumbuhan berterusan Malaysia,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.