MR DIY Kini Tutup 19 Cawangan.. – “Apa Dah Jadi Sebenarnya?”
MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR DIY) telah menamatkan operasi 19 cawangannya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini selepas didapati tidak mencapai tahap prestasi yang diharapkan.
Memetik laporan Berita Harian, Penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin menyatakan bahawa langkah tersebut menunjukkan perubahan strategi syarikat yang kini memberi tumpuan kepada peningkatan keuntungan berbanding pembukaan cawangan baharu secara besar-besaran.

Jelas Walter, MR DIY turut menyemak semula perancangan bagi tahun kewangan 2025 dengan menetapkan sasaran pembukaan 185 kedai baharu, sedikit rendah berbanding unjuran asal sebanyak 190 kedai.
Perubahan itu dijangka menghasilkan pertambahan bersih sekitar 166 cawangan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kedai MR DIY mencecah kira-kira 1,605 menjelang akhir tahun 2025.
“MR DIY juga menjelaskan bahawa penutupan terbabit adalah membabitkan kedai yang berprestasi rendah dan oleh itu hanya memberi kesan minimum kepada pendapatan keseluruhan sambil meningkatkan kecekapan jangka panjang,” katanya dalam satu nota penyelidikannya.
Difahamkan, bagi tahun kewangan 2026, MR DIY merancang untuk menambah sekitar 155 lagi cawangan baharu sebagai satu langkah yang menunjukkan strategi pengembangan lebih berhati-hati dan tersusun.
Beliau menambah, keputusan itu dibuat dalam suasana pasaran mencabar, di mana sentimen pengguna lemah dan jualan kedai sedia ada terus menurun.
“MR DIY juga sedang memperhalusi strategi pemilihan lokasi dengan memberi keutamaan kepada kedai berkonsep besar ‘MR.DIY PLUS’.
“Kedai berkonsep besar menggabungkan pelbagai jenama di bawah satu bumbung bagi meningkatkan daya tarikan pengguna, kecekapan produktiviti serta pendapatan bagi setiap kedai,” ujarnya lagi.
Tambah Walter, KKV Supplier Chain Sdn Bhd sebuah syarikat usaha sama dengan 49 peratus pegangan dimiliki oleh MR DIY, terus merekodkan kerugian bagi suku kedua berturut-turut dalam tempoh suku ketiga tahun 2025.
Katanya, kerugian itu berpunca daripada perbelanjaan permulaan yang tinggi serta isu kecekapan operasi pada fasa awal.
Walau bagaimanapun, beliau optimis prestasi KKV akan bertambah baik seiring dengan peningkatan skala perniagaan dan penyelarasan operasi yang lebih mantap.
“Dengan 19 kedai KKV kini beroperasi dan rancangan untuk mencapai 25 cawangan menjelang akhir 2025, kami menjangkakan keuntungan akan bertambah baik apabila kos tetap dapat diserap dan kesedaran jenama semakin kukuh.
“Sementara itu, program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah dilaksanakan di 125 cawangan MR DIY dengan rancangan untuk mengembangkan penyertaan kepada 300 kedai menjelang suku pertama tahun hadapan.
“Walaupun sumbangan hasil masih kecil, ia dijangka akan meningkat seiring dengan pertambahan bilangan kedai yang mengambil bahagian,” jelasnya.
MR DIY merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 11.9 peratus kepada RM136.12 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, berbanding RM121.65 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi suku berkenaan juga meningkat 5.6 peratus kepada RM1.20 bilion, berbanding RM1.14 bilion yang dicatat pada tempoh sebelumnya.
Kenaikan itu disokong oleh pembukaan cawangan baharu di seluruh negara, namun keuntungan sedikit terkesan akibat jualan kedai sedia ada yang menurun berikutan keadaan pasaran tidak menentu serta pelarasan dasar selepas penamatan subsidi.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.