Menjelang 2030, Malaysia Bakal Nikmati Lonjakan Kerja Gaji Besar Hasil Pelaburan AI RM169.2 Bilion

43

Hasil pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang mencecah lebih RM169.2 bilion, rakyat Malaysia terutama yang berkemahiran teknologi tinggi dijangka bakal menyaksikan peningkatan permintaan kerja gaji besar menjelang 2030.

Berita Harian melaporkan, penyelidikan terkini firma penyelesaian bakat global, Robert Walters mendapati pelaburan tersebut berpotensi mengukuhkan sektor penyumberan luar pesisir negara, sekali gus mendorong peningkatan permintaan tenaga kerja dalam bidang kritikal ketara antara 2025 hingga 2027.

Foto : Google

Dalam pada itu, Pasukan Perisikan Pasarannya juga menjangkakan permintaan besar akan tertumpu kepada tenaga mahir dalam operasi awan dan pusat data, kejuruteraan awan, sains data serta keselamatan siber.

Ketua Pegawai Eksekutif – Penyumberan Luar di Robert Walters iaitu David Barr menjelaskan bahawa landskap penyumberan luar kini sedang mengalami perubahan.

“Walaupun sebelum ini ia tertumpu pada penjimatan kos dan volum, strategi hari ini semakin mengutamakan keupayaan, kualiti dan daya tahan dengan memanfaatkan tenaga kerja antarabangsa yang berkemahiran tinggi.

“Malaysia ada kelebihan dari segi penguasaan bahasa Inggeris dan kepakaran teknikal, sekali gus menjadikannya destinasi meyakinkan untuk syarikat global yang mahu memanfaatkan peluang berasaskan AI,” katanya.

Difahamkan, pada separuh pertama 2025 sahaja, sebanyak RM13.29 bilion pelaburan sektor AI telah diluluskan, sekali gus berpotensi mewujudkan kira-kira 6,920 pekerjaan baharu.

Sementara itu, Ketua Perisikan Pasaran di Robert Walters, Phill Brown menyatakan bahawa hasil penyelidikan tersebut menekankan peranan Malaysia yang kian signifikan sebagai hab strategik penyumberan luar.

“Gabungan pengambilan teknologi bernilai tinggi, permintaan yang stabil untuk fungsi sokongan, dan unjuran AS$40 bilion (RM169.2 bilion) dalam pelaburan pusat data AI menetapkan peringkat bagi negara untuk menarik operasi perniagaan serantau dan global yang ketara,” tambah Brown.

Pertumbuhan ini diperkukuh oleh Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, dengan infrastruktur mantap dan kepakaran tempatan menjadikan Malaysia pilihan utama syarikat global bagi menyusun semula strategi tenaga kerja.

Sumber : Berita Harian

Penafian: Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.