Konflik AS–Venezuela Goncang Pasaran Minyak Dunia, Apa Implikasinya Kepada Malaysia?
Ketidaktentuan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela dijangka memberi tekanan kepada pasaran minyak dunia, yang seterusnya boleh mempengaruhi kadar inflasi, kos sara hidup rakyat serta kedudukan fiskal Malaysia.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, harga minyak global kebiasaannya akan meningkat apabila bekalan terganggu susulan sekatan, pengeluaran yang terjejas atau ketidaktentuan geopolitik.

Beliau menjelaskan bahawa bagi Malaysia, peningkatan harga minyak membawa kesan dua hala apabila ia berpotensi menambah pendapatan kerajaan selain meningkatkan hasil eksport minyak dan gas.
“Namun, pada masa sama ia turut meningkatkan kos tenaga domestik dan input pengeluaran kerana Malaysia masih mengimport sebahagian produk petroleum.
“Kenaikan dan ketidakstabilan harga minyak global juga memberi kesan langsung terhadap kos bahan api dan pengangkutan serta kesan tidak langsung melalui peningkatan kos logistik dan pengeluaran yang akhirnya disalurkan kepada harga barangan dan perkhidmatan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Sementara itu, Mohamad Idham juga mengingatkan bahawa tekanan inflasi berkemungkinan bertambah sekiranya harga minyak terus meningkat, khususnya jika kerajaan terpaksa melaksanakan pelarasan subsidi atau mengubah mekanisme penetapan harga bahan api dalam negara.
Bagi mengekang kesan buruk lonjakan harga minyak global, katanya, kerajaan wajar memperkukuh rangka kerja penstabilan fiskal, mengembangkan sumber pendapatan negara serta mempercepatkan peralihan ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Selain itu, mekanisme subsidi bersasar, peningkatan kecekapan tenaga dan pengurusan rizab strategik yang berkesan penting bagi melindungi ekonomi dan rakyat daripada turun naik harga minyak dunia,” katanya.
Ketegangan geopolitik baharu tercetus pada 3 Januari 2026 apabila Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas beberapa lokasi strategik di Venezuela, termasuk di ibu negara Caracas.
Operasi ketenteraan itu dilaporkan bertujuan memberi tekanan kepada kepimpinan Venezuela serta memastikan kestabilan pengurusan sektor minyak negara tersebut, yang merupakan antara pengeluar minyak utama dunia. Namun, tindakan berkenaan menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.
Penganalisis melihat ketegangan yang berlarutan berisiko mengganggu bekalan minyak global, mencetuskan turun naik harga serta memberi kesan berantai kepada ekonomi negara pengeluar dan pengguna, termasuk Malaysia.
Sumber : Harian Metro
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.