Ini Sebab Kenapa Kos Hidup di Shah Alam & JB Semakin ‘Cekik Darah’

53

Kedudukan PAKW tertinggi di Shah Alam, Johor Bahru, Georgetown, Seremban serta Bandaraya Melaka menggambarkan hakikat bahawa tahap pembangunan sesebuah bandar biasanya seiring dengan peningkatan kos sara hidup.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM, Dr Mohamad Idham Md Razak, situasi tersebut bergerak seiring dengan peningkatan peluang pekerjaan, kegiatan perniagaan serta permintaan terhadap pelbagai fasiliti dan perkhidmatan bandar.

Foto : Google

Beliau menjelaskan bahawa fenomena ini bukan hanya boleh ditafsir sebagai tekanan kos sara hidup, tetapi turut mencerminkan tahap kemajuan ekonomi sesebuah bandar.

“Bandar yang mencatat PAKW tinggi kebiasaannya mempunyai tarikan pelaburan yang kukuh, infrastruktur lebih baik serta kepadatan aktiviti ekonomi yang tinggi.

“Apabila sesebuah bandar berkembang dengan pesat, kos seperti perumahan, pengangkutan dan perkhidmatan akan meningkat seiring permintaan, ini adalah gambaran struktur ekonomi yang lebih aktif dan dinamik, bukan semata-mata isu kos sara hidup,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa perbezaan PAKW antara ibu negeri banyak dipengaruhi oleh faktor seperti harga perumahan, mobiliti penduduk dan kepadatan ekonomi.

Namun, menurutnya, jurang kos sara hidup ini juga memberikan peluang kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk merangka dasar yang lebih tepat sasaran dan berimpak tinggi.

“Langkah seperti memperkukuh sistem pengangkutan awam, mengawal kadar sewaan, menambah bekalan perumahan mampu milik serta memperluas peluang ekonomi bernilai tinggi di luar bandar perlu diperkasakan agar kesejahteraan rakyat dapat diseimbangkan,” jelasnya lagi.

Mohamad Idham menegaskan bahawa pendekatan yang inklusif dan menyeluruh amat penting bagi memastikan pertumbuhan bandar utama berlangsung secara mampan, sambil memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.

Terdahulu, berdasarkan dapatan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Shah Alam dicatat sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar tertinggi di negara ini, dengan PAKW paling tinggi bagi pelbagai saiz isi rumah. Keadaan ini menonjolkan jurang ketara kos sara hidup antara ibu negeri di Malaysia.

Johor Bahru berada di kedudukan kedua, diikuti oleh Georgetown, Seremban dan Bandar Raya Melaka.

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.