Ingat Dividen Senang? Ini 10 Kesilapan Yang Selalu ‘Makan’ Modal Trader Baru

93

Setiap tahun, semakin ramai pelabur baharu memasuki pasaran saham dengan harapan menjana pendapatan pasif melalui dividen. Naratif seperti “beli saham, lepas itu goyang kaki tunggu duit masuk” sering menjadi pencetus minat.

Namun realitinya, pelaburan dividen bukan skim cepat kaya. Tanpa pemahaman yang betul, strategi yang sepatutnya stabil boleh bertukar menjadi punca kerugian besar sehingga modal susut dan akaun pelaburan ‘blown’.

Foto : Janaan AI

Berikut adalah 10 kesilapan utama dalam pelaburan dividen yang sering dilakukan pelabur baharu, dan wajar dielakkan jika mahu membina portfolio yang mampan.

1. Terlalu Bergantung Kepada “Tips Panas” Media Sosial

Ramai pelabur membuat keputusan membeli saham hanya berdasarkan cadangan dalam kumpulan Facebook atau Telegram.

Masalahnya, kebanyakan “tips” ini tidak disertakan dengan analisis menyeluruh. Pelabur perlu sedar bahawa setiap keputusan pelaburan adalah tanggungjawab sendiri, bukan pemberi tip. Tanpa kajian, anda berisiko membeli pada harga puncak sebelum saham menjunam.

2. Mengabaikan Analisis Fundamental

Antara kesilapan besar ialah menyamakan pelaburan saham dengan perjudian.

Dividen tidak muncul secara magik namun, ia dibayar daripada keuntungan sebenar syarikat. Jika syarikat mencatat kerugian, aliran tunai lemah atau hutang tinggi, kemampuan untuk membayar dividen secara konsisten akan terjejas. Memahami asas perniagaan dan prestasi kewangan adalah keperluan asas, bukan pilihan.

3. Terperangkap Dengan Strategi Kejar Ex-Date

Ada pelabur membeli saham semata-mata untuk mengejar dividen jangka pendek, kemudian menjualnya selepas tarikh ex-dividend.

Hakikatnya, harga saham biasanya akan diselaraskan turun selepas ex-date. Akibatnya, dividen yang diterima tidak mampu menampung kejatuhan harga saham, menyebabkan kerugian bersih.

4. Terpedaya Dengan Dividend Yield Terlalu Tinggi

Dividend yield yang luar biasa tinggi sering dilihat sebagai peluang emas, sedangkan ia sebenarnya amaran awal.

Dalam banyak kes, yield tinggi wujud kerana harga saham jatuh mendadak akibat masalah kewangan atau prospek perniagaan yang semakin suram. Membeli tanpa menilai punca kejatuhan ibarat cuba menyambar peluang yang penuh risiko.

5. Tidak Menilai Kelestarian Dividen

Dividen tinggi pada satu tahun tidak menjamin kesinambungan pada masa hadapan.

Pelabur perlu meneliti Dividend Payout Ratio (DPR) dan keuntungan syarikat. Jika dividen dibayar melebihi kemampuan sebenar, ia menandakan strategi perniagaan yang tidak mampan dan berisiko untuk jangka panjang.

6. Mengamalkan “Buy & Forget”

Strategi buy & hold memang sesuai untuk pelaburan dividen, tetapi tanpa pemantauan, ia boleh bertukar menjadi kesilapan besar.

Persekitaran perniagaan sentiasa berubah. Syarikat yang kukuh hari ini boleh menjadi tidak relevan beberapa tahun kemudian. Justeru, prestasi syarikat perlu dipantau secara berkala, sekurang-kurangnya setiap laporan kewangan suku tahunan.

7. Terlalu Taksub Dengan Saham Murah

Harga murah tidak semestinya bernilai. Ada saham yang murah kerana undervalued, tetapi ada juga yang murah kerana asas perniagaan sudah rosak. Melihat nisbah PE rendah tanpa memahami konteks boleh menyebabkan pelabur terperangkap dalam saham berkualiti rendah.

8. Terikat Dengan Emosi Dan Sentimen

Ramai pelabur enggan menjual saham yang sudah jelas merosot hanya kerana faktor emosi.

Dalam pasaran saham, sentimen peribadi tidak memberi nilai. Jika asas perniagaan berubah dan prospek semakin gelap, keberanian untuk cut loss adalah langkah melindungi modal dan membuka peluang pelaburan yang lebih baik.

9. Mengabaikan Faktor Cukai

Bagi pelabur yang melabur di pasaran luar negara, khususnya Amerika Syarikat, cukai ke atas dividen sering terlepas pandang.

Withholding tax sebanyak 30% akan ditolak secara automatik, sekali gus mengurangkan pulangan sebenar. Berbeza dengan kebanyakan dividen di Bursa Malaysia yang dikecualikan cukai, perbandingan pulangan perlu dibuat dengan teliti.

10. Terlalu Bergantung Kepada Berita

Berita kewangan lazimnya sudah pun tercermin dalam harga saham apabila ia diterbitkan.

Menggunakan berita sebagai panduan utama boleh menyebabkan keputusan dibuat terlalu lewat. Analisis kendiri dan kefahaman terhadap asas syarikat jauh lebih penting berbanding mengikut sentimen pasaran semasa.

Pelaburan dividen adalah permainan jangka panjang, bukan jalan pintas untuk kekayaan segera.

Pelabur yang berjaya biasanya memberi tumpuan kepada syarikat berkualiti tinggi, aliran tunai stabil dan rekod pembayaran dividen yang konsisten. Lebih baik memperoleh pulangan sederhana tetapi berterusan, daripada mengejar keuntungan tinggi yang berakhir dengan kerugian modal.

Kesabaran, disiplin dan ilmu adalah aset sebenar dalam membina portfolio dividen yang kukuh.

Sumber : Mahersaham

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.