Harga Rumah Terus Naik, Rakyat Masih Bergelut Miliki Kediaman

15

Pasaran perumahan Malaysia terus berdepan cabaran dari segi kemampuan pemilikan, meskipun kerajaan menyediakan pelbagai pilihan rumah mampu milik. Menurut Rahim & Co, isu utama terletak pada ketidakseimbangan antara penawaran projek perumahan dengan lokasi permintaan.

Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co, Sulaiman Saheh, berkata konsep ‘affordability’ perlu didefinisikan dengan lebih tepat berdasarkan lokasi, tahap pendapatan serta demografi bagi memastikan intervensi kerajaan benar-benar berkesan.

“Sebagai contoh, pembangunan apartmen berharga RM250,000 mungkin sesuai untuk pasaran Kuala Lumpur atau Selangor, namun tidak selaras dengan pendapatan purata penduduk di negeri seperti Kelantan. Harga yang dianggap mampu milik di bandar besar mungkin masih di luar kemampuan rakyat di negeri yang lebih kecil.

“Di negeri kecil juga, rakyat lebih cenderung memilih rumah bertanah satu tingkat berbanding kondominium mewah atau kediaman bertingkat tinggi. Justeru, kerajaan perlu meneliti perbezaan pendapatan antara negeri dan kesesuaian produk supaya rumah yang dibina benar-benar mampu dimiliki rakyat.

“Program seperti rent-to-own pula masih belum dilaksanakan pada skala besar, sedangkan ia berpotensi membantu golongan B40 memiliki rumah pertama,” katanya pada sidang media Tinjauan Pasaran Hartanah 2025/2026 Rahim & Co, di sini, pada Khamis.

Rahim & Co dalam Property Market Review 2025/2026 melaporkan bahawa harga hartanah di bandar utama kekal dalam zon sangat tidak mampu milik apabila dibandingkan dengan pendapatan median isi rumah.

Kuala Lumpur sebagai contoh mencatat harga median RM700,000 dengan nisbah 5.7, jauh melepasi ambang kemampuan pada nisbah tiga. Selangor dan Johor juga mengalami situasi sama apabila masing-masing merekodkan nisbah 4.7, meskipun harga median RM550,000 di Selangor dan RM465,000 di Johor.

Di Pulau Pinang, nisbah harga rumah terhadap pendapatan direkodkan pada 4.1 dengan harga median rumah teres sekitar RM440,000. Walaupun angka ini merupakan yang paling rendah berbanding tiga kawasan utama lain yang dinilai, ia masih dikategorikan sebagai serius tidak mampu milik berdasarkan piawaian antarabangsa.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa isu kemampuan memiliki rumah tidak lagi tertumpu hanya di Kuala Lumpur, sebaliknya turut menjejaskan negeri ekonomi utama lain, khususnya di kawasan berlokasi strategik yang harganya jauh melebihi kemampuan pendapatan median rakyat.

Menurut Sulaiman, usaha kerajaan sahaja tidak mencukupi, malah penyertaan sektor swasta serta institusi kewangan amat diperlukan bagi membuka ruang pemilikan rumah kepada golongan berpendapatan rendah.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk pemaju dan bank, untuk menyediakan skim yang praktikal dan mudah diakses,” ujarnya.

Tambah beliau, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dapat meringankan kos pinjaman serta meningkatkan kemampuan membeli, meskipun ekonomi Malaysia masih terkesan dengan ketidaktentuan global.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.