Gaji RM5,000–RM10,000 Pun Susah Menabung? Ini Realiti Kewangan Rakyat Malaysia
Sebanyak 39 peratus golongan berpendapatan sederhana di Malaysia dilaporkan hanya mampu mengetepikan RM500 atau kurang setiap bulan, sekali gus mencerminkan kesukaran membina simpanan yang kukuh walaupun ramai memasang azam kewangan pada awal tahun.
Menurut Versa, dapatan daripada Tinjauan Literasi Kewangan Rakyat Malaysia 2025 yang dijalankan oleh RinggitPlus menunjukkan individu dengan pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan kini semakin terhimpit oleh tekanan kos sara hidup.

Tambahnya lagi, tempoh suku pertama tahun ini bertembung dengan musim perayaan besar seperti Tahun Baharu Cina serta persiapan menyambut Ramadan, yang lazimnya mendorong peningkatan ketara dalam perbelanjaan isi rumah.
Dalam masa sama, aktiviti perdagangan borong dan runcit turut mencatatkan lonjakan memberangsangkan pada 2025 apabila nilai jualan mencecah RM148.3 bilion pada Februari. Peningkatan ini sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan pengguna menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Matlamat kewangan yang dirancang pada awal tahun sering terjejas apabila perbelanjaan bermusim meningkat, sekali gus menyukarkan usaha untuk mengekalkan disiplin simpanan.
“Apa yang bermula sebagai azam Januari untuk ‘menyimpan lebih banyak tahun ini’ mungkin mula tertekan menjelang Februari apabila komitmen perayaan mula menjejaskan aliran tunai.
“Menjelang Mac, momentum yang mendorong azam kewangan pada awal tahun mungkin sudah semakin pudar.
“Keadaan ini penting di Malaysia, di mana data terkini menunjukkan penampan simpanan masih rapuh bagi kebanyakan isi rumah,” katanya.
Tinjauan berkenaan turut mendapati hanya segelintir dalam kalangan kumpulan berpendapatan sederhana yang memperoleh antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan berupaya menyisihkan lebih daripada RM1,000 sebagai simpanan bulanan.
Selain itu, kajian tersebut menunjukkan hanya 27 peratus isi rumah dalam kategori ini mampu menampung kos sara hidup melebihi enam bulan menggunakan simpanan sedia ada. Peratusan itu menurun berbanding 32 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Bagi membantu menangani cabaran ini, program Starter Quest yang diperkenalkan oleh Versa Asia Sdn Bhd menawarkan pendekatan lebih tersusun bagi menggalakkan rakyat Malaysia kembali konsisten menabung.
Melalui platform tersebut, pengguna ditawarkan pelbagai galakan seperti pulangan ke atas dana baharu serta ganjaran tambahan bagi potongan simpanan automatik setiap bulan. Inisiatif ini bertujuan membantu pengguna kekal fokus terhadap sasaran kewangan mereka sambil memupuk amalan pengurusan wang yang lebih mampan, walaupun selepas berakhirnya semangat azam tahun baharu.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.