Dolar AS Kekal Tinggi, Ringgit Dibuka Rendah

117

Ringgit Malaysia akan kekal rendah menjelang data AS yang akan dikeluarkan hari ini dan esok.

KUALA LUMPUR : Ringgit meneruskan aliran rendah semasa awal dagangan pada Khamis berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) kekal tinggi dan pada masa yang sama peserta pasaran menunggu angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama AS hari ini selain data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) bagi Mac esok.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.7825/7870 berbanding dolar AS daripada 4.7765/7780 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi AS pada suku pertama diunjurkan berkembang 2.4 peratus suku ke suku daripada 3.4 peratus sebelumnya.

“Setakat ini, ekonomi AS agak berdaya tahan dan pasaran telah mengenepikan penurunan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) AS untuk sektor pembuatan bagi April.

“Oleh itu, ringgit akan kekal rendah menjelang data AS yang akan dikeluarkan hari ini dan esok,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat berbanding mata wang utama, termasuk yen Jepun apabila melepasi 155 yen bagi setiap dolar AS buat kali pertama dalam tempoh tiga dekad, yang mungkin mendorong campur tangan langsung pihak berkuasa untuk mengekang penyusutan itu.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0779/0810 daripada 3.0830/0840 ketika ditutup pada Rabu namun susut berbanding pound British kepada 5.9600/9656 daripada 5.9362/9381.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 5.1187/1235 daripada 5.1046/1062.

Namun, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8835/8995 daripada 12.9004/9097 daripada penutupan semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.29/8.31 daripada 8.30/8.31.

Walau bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5122/5157 daripada 3.5090/5104 semalam dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 295.9/296.4 daripada 295.6/295.9.

Penafian : Sumber dari Bernama
Penafian : Pendedahan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja

Penulis : Dee Zainal

Berminat untuk join Komuniti Trading Scalper No 1 Di Malaysia ? Jom join Telegram Channel untuk Tips dan Info semasa mengenai SuperScalper

https://t.me/+ICnBSih70bA1MTI1
https://t.me/+ICnBSih70bA1MTI1