Dividen KWSP 2025 Cecah 6.5%? Prestasi Pelaburan 9 Bulan Beri Petunjuk Positif
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mengumumkan kadar dividen sekitar 6.3 hingga 6.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Sebagai rekod, bagi tahun 2024, KWSP telah mengisytiharkan pulangan sebanyak 6.3 peratus untuk kedua-dua akaun, iaitu simpanan konvensional dan juga Syariah.

Beliau menjelaskan, prestasi sembilan bulan pertama 2025 yang menunjukkan lonjakan kira-kira 11 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar memberi isyarat positif terhadap keupayaan dana persaraan itu untuk terus menawarkan agihan dividen yang kompetitif dan menarik tahun ini.
“Kriteria pemilihan pelaburan KWSP yang konservatif dan bertanggungjawab telah membolehkannya mengoptimumkan keseimbangan antara risiko dan pulangan.
“Pendedahannya kepada pasaran global berjumlah kira-kira 38 peratus serta peruntukan yang lebih besar kepada aset pendapatan tetap menawarkan gabungan aset yang seimbang dan kepelbagaian geografi.
“Ini sekali gus membantu meminimumkan risiko portfolio dan pada masa sama memaksimumkan pulangan pelaburan,” katanya kepada media.
Menurut Mohd Afzanizam, komposisi aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat akhir suku ketiga 2025 menunjukkan pegangan terbesar tertumpu pada pelaburan ekuiti sebanyak 46 peratus, diikuti instrumen pendapatan tetap yang menyumbang 45 peratus daripada keseluruhan portfolio.
Selain itu, pelaburan dalam sektor hartanah dan infrastruktur membentuk tujuh peratus daripada jumlah aset, manakala baki dua peratus pula diperuntukkan kepada instrumen pasaran wang sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan kecairan dana berkenaan.
“Setiap kelas aset mempunyai tujuan yang tersendiri dalam portfolio. Ekuiti khususnya bertujuan untuk meningkatkan modal manakala instrumen pendapatan tetap menawarkan pengekalan modal dan instrumen pasaran wang yang menyokong pengurusan mudah tunai,” ujarnya.
Mohd Afzanizam menjelaskan bahawa pelaburan dalam ekuiti kebiasaannya menawarkan pulangan lebih tinggi kerana ia datang bersama tahap risiko yang lebih besar, berbanding instrumen pendapatan tetap dan pasaran wang yang lazimnya lebih stabil serta berisiko rendah.
Pendekatan peruntukan aset sedemikian, katanya, memberi ruang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyeimbangkan antara potensi keuntungan dan kawalan risiko, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan portfolio keseluruhan.
Dalam perkembangan sama, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA, Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berpandangan bahawa kepelbagaian pelaburan merentasi pelbagai kelas aset termasuk pasaran domestik dan antarabangsa menjadi antara faktor penting yang menyokong keupayaan KWSP menawarkan kadar dividen yang lebih kompetitif.
“Selain itu, pasaran ekuiti terus mengukuh seperti yang dilihat apabila KWSP meningkatkan pegangan sahamnya dalam IJM Corporation Bhd kepada 20.4 peratus sekali gus menjadikannya pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan itu.
“Pengukuhan ringgit berbanding mata wang lain turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan pelaburan negara,” jelasnya lagi.
Juliana menjelaskan bahawa persekitaran global yang tidak menentu boleh memberi kesan langsung kepada prestasi pelaburan dan keyakinan pelabur. Antara faktor yang perlu diberi perhatian termasuk turun naik kadar faedah antarabangsa, pergerakan mata wang, serta risiko geopolitik seperti semakan tarif dan perubahan dasar perdagangan oleh Amerika Syarikat.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan bahawa pertambahan ketara golongan bekerja sendiri yang kini melebihi tiga juta orang selari dengan perubahan landskap pasaran buruh termasuk peningkatan pekerja gig, menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan caruman secara sukarela.
“Saya menjangkakan dividen mungkin bergerak dalam julat 5.5 hingga 6.5 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan turun naik adalah bergantung kepada prestasi pasaran global dan kecekapan strategi pelaburan KWSP,” tambahnya.
Sumber : Harian Metro
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.