Gila Kaya! Elon Musk Jadi Manusia Pertama Capai AS$500 Bilion

Elon Musk mencatat sejarah selepas menjadi individu pertama yang memiliki kekayaan bersih melebihi AS$500 bilion (RM2.1 trilion), hasil lonjakan semula saham Tesla tahun ini dan peningkatan nilai syarikat teknologi lain miliknya.

Kurang setahun selepas menembusi paras AS$400 bilion, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu sekali lagi mencipta sejarah apabila nilai kekayaannya melonjak, meneguhkan statusnya sebagai individu paling kaya di dunia.

Foto : Google

Menurut Indeks Bilionair Forbes, kekayaan Musk secara ringkas mencecah AS$500 bilion pada Rabu, dan sebahagian besar hartanya berpunca daripada pegangan hampir 12 peratus dalam Tesla, syarikat pengeluar kereta elektrik paling bernilai di pasaran global.

Difahamkan, harga saham syarikat EV itu melonjak sekitar 14 peratus sejak awal tahun, meskipun bermula dengan prestasi yang agak goyah.

Pada bulan lalu, Musk mengejutkan pasaran apabila membeli saham Tesla bernilai hampir AS$1 bilion, dan langkah ini dilihat mencerminkan keyakinannya terhadap usaha syarikat itu untuk berkembang daripada pengeluar kereta kepada peneraju dalam teknologi AI dan robotik.

Sebelum ini, lembaga pengarah Tesla mencadangkan pakej ganjaran bernilai AS$1 trilion untuk Musk, dengan syarat beliau perlu mencapai sasaran kewangan dan operasi yang tinggi, selain memenuhi permintaannya untuk pegangan saham lebih besar dalam syarikat itu.

Pakej tersebut merupakan yang terbesar pernah ditawarkan kepada seorang ketua eksekutif, dan pelabur percaya ia akan memastikan Musk terus memberi tumpuan kepada Tesla walaupun beliau sibuk dengan pelbagai projek lain.

Sejak pengumuman pelan ganjaran pada 5 September, saham Tesla telah melonjak 35.7 peratus.

Kerja keras Musk selama ini memberinya pengaruh besar dalam dunia teknologi, merangkumi kereta elektrik, tenaga boleh diperbaharui, komunikasi satelit dan kecerdasan buatan (AI).

Nilai syarikat AI miliknya, xAI, serta syarikat roket SpaceX turut meningkat tahun ini, dengan kedua-duanya dilaporkan sedang mengumpul dana berdasarkan penilaian masing-masing iaitu AS$200 bilion dan AS$400 bilion.

Dalam senarai bilionair Forbes, pengasas Oracle, Larry Ellison, berada di tempat kedua dengan kekayaan sekitar AS$350.7 bilion setakat Rabu.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.