“Dunia Hampir Terjerumus Dalam ‘Perang Modal’ Global!” – Ray Dalio

18

Pelabur legenda dunia, Ray Dalio, memberi amaran bahawa sistem kewangan global kini berada dalam keadaan yang semakin rapuh dan berisiko mencetuskan apa yang beliau gelarkan sebagai “perang modal”.

Bercakap kepada CNBC International semasa Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Selasa, Dalio berkata dunia kini sudah berada sangat hampir dengan situasi tersebut.

Foto : Money & Markets

“Kita berada di ambang batas. Kita belum benar-benar terlibat, tetapi kita sudah cukup dekat dengannya,” kata pengasas Bridgewater Associates itu.

Kenyataan itu mencerminkan peningkatan ketegangan geopolitik global, termasuk langkah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dilaporkan berusaha meletakkan Greenland wilayah di bawah Denmark, di bawah pengaruh Washington.

Dalio turut mengingatkan bahawa wujud kebimbangan dalam kalangan pemilik aset berdenominasi dolar AS di Eropah yang bimbang mereka mungkin dikenakan sekatan. Dalam masa yang sama, di Amerika Syarikat sendiri timbul keresahan bahawa konflik geopolitik boleh menjejaskan keupayaan negara itu untuk mendapatkan aliran modal serta aktiviti pembelian dari Eropah.

“Modal dan wang adalah elemen yang sangat penting,” tegas Dalio.

Beliau menjelaskan dunia kini sedang menyaksikan semakin banyak langkah kawalan modal diperkenalkan di pelbagai negara, namun masih belum jelas pihak mana yang akhirnya akan paling terkesan.

“Oleh itu, kita kini berada di satu tahap yang sangat hampir. Ini tidak bermakna kita sudah berada dalam perang modal, tetapi kebimbangan ke arah itu adalah sesuatu yang munasabah,” ujarnya.

Sejak kembali menduduki Rumah Putih tahun lalu, Trump telah mengenakan beberapa tarif ke atas rakan dagang dan pihak yang dianggap lawan politik, langkah yang mencetuskan turun naik ketara dalam pasaran kewangan global.

Bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, tarif tersebut juga digunakan sebagai alat tekanan dalam rundingan. Jika perbincangan mencapai persetujuan yang diinginkan, Trump dilaporkan bersedia untuk mengurangkan atau menarik balik tarif berkenaan.

Dalio turut menambah bahawa berdasarkan pengalaman sejarah, fasa yang menghampiri perang modal lazimnya akan disertai dengan pengenalan kawalan pertukaran mata wang dan pergerakan modal. Menurut beliau, institusi besar seperti dana kekayaan negara dan bank pusat kini sebenarnya sudah mula membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan pelaksanaan langkah-langkah tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa jika dilihat dari sudut sejarah, konflik besar dunia sering berkembang seiring dengan tercetusnya perang modal. Sebagai contoh, sebelum Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Dunia Kedua, negara itu pernah mengenakan sekatan terhadap Jepun, susulan hubungan yang semakin tegang antara kedua-dua pihak.

Difahamkan, situasi yang hampir sama boleh dibayangkan dalam konteks dunia hari ini, khususnya melibatkan hubungan antara Amerika Syarikat dan China. Malah, isu kebergantungan antara Amerika dan Eropah juga sering dibincangkan oleh para pemimpin dunia, memandangkan ketidakseimbangan perdagangan sebenarnya mencerminkan ketidakseimbangan aliran modal dan perkara tersebut boleh dijadikan alat dalam konflik ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata, dalam keadaan tertentu, aliran modal bukan sekadar isu kewangan, sebaliknya boleh digunakan sebagai senjata dalam persaingan kuasa besar.

Dalam ucapan yang sama, Dalio turut menyentuh peranan emas sebagai aset perlindungan. Jelasnya, dalam suasana ketidaktentuan global, emas masih menjadi antara tempat terbaik untuk menyimpan nilai kekayaan.

Tambahnya lagi, harga emas telah meningkat dengan ketara sejak setahun lalu, walaupun mengalami pembetulan daripada paras tertingginya. Namun, beliau berpendapat ramai pelabur silap apabila terlalu fokus kepada persoalan sama ada harga emas akan naik atau turun dalam jangka pendek.

Sebaliknya, katanya, institusi seperti bank pusat, kerajaan atau dana kekayaan negara seharusnya melihat emas dari sudut peruntukan portfolio, iaitu menentukan peratusan yang wajar untuk dipegang secara konsisten. Ini kerana emas berfungsi sebagai alat kepelbagaian (diversifikasi) yang sangat berkesan untuk mengimbangi aset lain yang berisiko atau kurang stabil.

Dalio menambah bahawa emas biasanya menunjukkan prestasi yang baik ketika keadaan ekonomi dan pasaran berada dalam tekanan, manakala prestasinya mungkin sederhana ketika ekonomi berada dalam fasa makmur. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan emas tetap memainkan peranan penting sebagai instrumen diversifikasi yang kukuh dalam mana-mana portfolio pelaburan.

Sumber : CNBC Indo

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.