Ijazah Bukan Lagi Ticket ‘Hidup Senang’? Ini Realiti Graduan Malaysia Hari Ini.

84

Di Malaysia, ramai ibu bapa menganggap universiti sebagai laluan utama untuk menjamin masa depan. Namun, pasaran kerja hari ini bergerak jauh lebih laju daripada sistem pendidikan kita, dan jurang itu akhirnya dirasai oleh anak-anak muda.

Foto : makkalosai

Graduan Banyak, Peluang Tak Seimbang

Setiap tahun ribuan graduan dilahirkan, tetapi ruang pekerjaan yang setaraf kelayakan tidak bertambah pada kadar yang sama.

Data menunjukkan ramai graduan muda masih menganggur iaitu lebih 72 ribu orang bawah 25 tahun dalam 2023 masih belum mendapat kerja. Itu angka besar, dan itu hanya yang tercatat dalam statistik.

Lebih membimbangkan, sebahagian besar yang bekerja pula masuk ke sektor yang tidak menggunakan kelayakan mereka. Pada tahun 2022, lebih 1.68 juta graduan berada dalam kategori “underemployed”, dan bagi yang berumur bawah 24 tahun, kadar ini melebihi 60%.

Ini bukan soal malas atau memilih kerja tetapi pasaran kerja yang tidak dapat menyerap modal insan yang kita hasilkan.

Gaji Permulaan Tak Kondusif Dengan Kos Hidup

Isu seterusnya ialah pendapatan awal. Graduan hari ini bermula dengan gaji sekitar RM2,000 – RM3,500, bergantung kepada bidang dan lokasi. Di atas kertas mungkin kelihatan memadai, tetapi bila digabung dengan komitmen sebenar, ia jadi ketat.

Komitmen tipikal graduan:

  • sewa bilik/rumah,
  • makan minum,
  • pengangkutan,
  • telefon & internet,
  • hutang kad kredit (jika ada),
  • dan paling klasik: PTPTN.

Ada yang mendakwa hampir 40% gaji digunakan semata-mata untuk membayar hutang pendidikan. Akhirnya, bukan kerja tak ada tapi ruang untuk hidup hampir kosong.

Dalam Masa Sama, Hutang Isi Rumah Negara Tinggi

Kerana itu, isu ini bukan individual semata-mata ia berlaku dalam konteks negara yang hutang isi rumahnya mencecah RM1.65 trilion, iaitu sekitar 84% KDNK menjelang Mac 2025.

Hutang terbesar datang daripada pembelian rumah, pembelian kereta, pinjaman pengguna, kad kredit, dan lain-lain.

Bila graduan dengan gaji rendah ini mula memasuki fasa dewasa, mereka masuk ke sistem kewangan yang sudah pun padat dengan hutang. Ini bukan permulaan yang mudah.

Akademik Tanpa Kemahiran Tambahan Dah Tak Cukup

Sistem akademik masih kuat dari sudut teori, tetapi dunia hari ini menuntut lebih daripada itu.
Graduan perlu tahu cara untuk:
✔ berunding gaji,
✔ membina rangkaian profesional,
✔ mengurus emosi & tekanan,
✔ mengawal kewangan asas,
✔ memahami pelaburan & risiko,
✔ serta berfikir secara kritikal.

Ini kemahiran yang jarang disentuh dalam silibus, tetapi sangat diperlukan untuk bertahan dalam ekonomi sebenar.

Universiti masih penting, tetapi bukan satu-satunya jalan, dan bukan lagi “jaminan automatik” seperti dulu.

Untuk menghadapi zaman sekarang, anak-anak perlu dididik untuk:
✔ berdikari,
✔ berfikir panjang,
✔ urus wang,
✔ bina skil bernilai tinggi,
✔ dan mencipta peluang, bukan hanya menunggu.

Jika kita masih menganggap sijil cukup untuk melindungi masa depan, kita sedang mengulangi skrip lama dalam dunia yang sudah berubah.

Sumber : Majalahlabur

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.