Tak Perlu Pantau Harga Setiap Hari, Ini Cara Pelaburan Saham Yang Betul

10

Bila sebut pasal pelaburan saham, ramai terus bayangkan gaya hidup duduk depan laptop seharian, mata fokus pada carta, jari sentiasa sedia tekan butang beli dan jual. Hakikatnya, itu bukan kehidupan pelabur biasa. Itu dunia trader sepenuh masa.

Masalah mula timbul bila orang yang sebenarnya sibuk cuba ikut gaya hidup tersebut. Tanpa ilmu dan perancangan, keputusan dibuat ikut perasaan. Harga turun sikit, terus panik. Harga naik pula, menyesal sebab tak beli lebih awal. Akhirnya masuk keluar pasaran tanpa hala tuju yang jelas. Emosi penat, duit pun perlahan-lahan habis.

Foto : Janaan Ai

Bekerja 9–5 Bukan Halangan Untuk Melabur

Kalau anda bekerja dari pagi sampai petang, ada anak-anak dan komitmen keluarga, pelaburan saham sebenarnya masih relevan. Salah satu kelebihan besar pasaran saham Malaysia ialah Bursa Malaysia tidak beroperasi 24 jam.

Dagangan ni hanya berlangsung pada hari bekerja, iaitu dari pagi sampai petang. Ini beri ruang untuk kita berfikir dengan lebih tenang, buat keputusan berdasarkan pelan, dan bukan reaksi spontan setiap kali harga bergerak.

Tak Sempat Pantau Harga? Gunakan Sistem Automatik

Ramai tak sedar yang kebanyakan broker saham sebenarnya menyediakan fungsi automatik untuk mudahkan pelabur. Jadi, trader tak perlulah tengok harga setiap masa.

Korang boleh tetapkan harga sasaran untuk beli, tetapkan juga bila nak ambil untung atau hadkan kerugian. Bila harga capai paras yang ditetapkan, sistem akan laksanakan arahan secara automatik.

Menariknya, arahan macam ni boleh dibuat pada bila-bila masa, contohnya waktu malam, hujung minggu atau ketika anda sibuk bekerja. Sistem akan simpan arahan tersebut dan hanya melaksanakannya apabila pasaran dibuka dan syarat dipenuhi.

Dengan cara ini, pelaburan jadi lebih tersusun dan kurang bergantung pada emosi.

Pelaburan Saham Tak Perlu Aktif Setiap Hari

Untuk mereka yang memang tak ada masa langsung, pendekatan buy & hold adalah paling praktikal. Fokus kepada saham syarikat yang bisnesnya kukuh, ada rekod dividen dan mempunyai potensi berkembang dalam jangka panjang.

Bila strategi jelas, anda tak perlu buka aplikasi saham setiap hari. Cukup pantau sekali-sekala dan fokus kepada prestasi syarikat, bukan turun naik harga harian.

Tak Ada Masa Bukan Alasan

Hakikatnya, pelaburan saham tak sepatutnya buat hidup kita lebih stres. Ia bukan kerja sepenuh masa, dan bukan juga perlumbaan siapa paling kerap beli dan jual.

Yang penting, strategi kena sesuai dengan gaya hidup. Gunakan tools yang ada, kawal emosi dan fikir jangka panjang.

Kalau dibuat dengan betul, pelaburan saham boleh jadi alat untuk bina kewangan bukan beban yang menambah tekanan dalam hidup seharian.

Sumber : Majalahlabur

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.