Bank Islam Umum Bantuan Khas untuk PMKS & Pelanggan Terjejas Banjir
Bagi meringankan beban mangsa banjir, Bank Islam Malaysia Bhd telah mengumumkan inisiatif bantuan kewangan khas yang ditawar khas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta para pelanggan mereka yang terjejas akibat banjir seluruh negara.
Menerusi laporan Bernama, Bank tersebut dalam kenyataannya menjelaskan, program Kemudahan Bantuan Bencana ditawarkan kepada perniagaan yang terletak di kawasan yang telah ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai zon bencana.

Difahamkan, dengan adanya program tersebut, PMKS berpeluang mendapatkan pembiayaan bagi tujuan membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang terjejas seperti mesin dan kilang, selain menumpang keperluan modal asas.
“Moratorium sehingga enam bulan turut diberikan kepada pelanggan PMKS sedia ada di kawasan bencana banjir, meliputi semua kemudahan kredit termasuk Pembiayaan Berjangka, Kredit Pusingan, Talian Tunai dan Perdagangan,” katanya.
Sementara itu, Bank Islam turut mengaktifkan semula Program Prihatin Banjir bagi pelanggan pembiayaan individu.
Melalui program ini, pemegang Pembiayaan-i Rumah, Peribadi dan Kenderaan boleh memohon penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Dalam pada itu, pihak Bank juga menyediakan penggantian percuma untuk Kad Kredit-i, Kad Debit-i dan buku cek yang rosak atau hilang.
Menurut Ketua Pegawai Operasi yang juga Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff menyatakan bahawa pihak bank giat memantau perkembangan banjir sambil berusaha untuk mempercepatkan dokumentasi serta kelulusan permohonan.
“Langkah proaktif ini dilaksanakan bagi meringankan beban pelanggan yang terjejas,” ujarnya.
Untuk makluman, permohonan bantuan boleh dikemukakan di mana-mana cawangan Bank Islam dalam tempoh tiga bulan selepas berlakunya banjir.
Sumber : Bernama
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.