OPR 2.75 Peratus Dijangka Kekal Hingga 2026
Seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan inflasi yang sederhana, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 2.75 peratus akhir tahun ini , malah berpotensi untuk berlanjutan sehingga 2026.
Harian Metro melaporkan bahawa Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid melihat tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar berkenaan susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) baru-baru ini sebagai sesuatu yang sudah dijangka pasaran.

“Kenyataan BNM menunjukkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi 2025 sekitar 4.0 hingga 4.8 peratus, dengan inflasi kekal sederhana.
“Oleh itu, kadar OPR berkemungkinan dikekalkan pada 2.75 peratus sehingga 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, dasar monetari akan terus bergantung kepada faktor semasa seperti pertumbuhan global dan tekanan inflasi, malah sekiranya perlu, Bank Negara Malaysia (BNM) masih mempunyai ruang untuk menurunkan OPR memandangkan kadar inflasi dijangka kekal terkawal.
“Keputusan pengekalan OPR semalam adalah sejajar dengan ramalan kebanyakan pihak dan boleh dianggap sebagai perkembangan positif.
“BNM turut dilihat selesa dengan pengamatan mereka terhadap situasi ekonomi negara, ketidakpastian berhubung tarif import yang dikenakan Amerika Syarikat juga sudah diumumkan, membolehkan kerajaan serta firma swasta membuat persiapan lebih awal terhadap kesannya,” katanya.
Dalam hal ini, Afzanizam berkata, BNM dijangka mengekalkan pemantauan rapi terhadap data ekonomi sebelum membuat keputusan berkaitan perubahan OPR pada masa hadapan.
Sumber : Harian Metro
Penafian: Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.