Penganalisis menegaskan, nisbah realisasi pelaburan yang kekal konsisten sekitar 80 peratus sejak kebelakangan ini membuktikan bahawa pengumuman pelaburan bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi benar-benar diterjemah kepada aktiviti ekonomi sebenar di peringkat lapangan.
Menurut Ahli Ekonomi, Dr Anthony Dass, kadar realisasi yang tinggi ini menunjukkan bahawa majoriti pelaburan yang diluluskan telah dilaksanakan secara berperingkat mengikut skala serta fasa projek, sama ada berupa pelaburan baharu mahupun perluasan kapasiti sedia ada.

“Apabila kita bercakap mengenai realisasi 80 peratus, ia bukan bermaksud daripada RM1 bilion yang diluluskan, terus 80 peratus dilaburkan serta-merta.
“Realisasi berlaku dari satu tahap ke satu tahap, bergantung kepada sifat pelaburan dan fasa pelaksanaan,” katanya.
Bekas Pegawai Khas Majlis Tindakan Ekonomi itu menyatakan perkara tersebut ketika ditemui pada Selasa dalam sebuah sesi minum petang penghargaan serta perangkaian media bertemakan ‘Memperkukuhkan Perkongsian untuk Kejayaan Pelaburan’, anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini.
Mengulas lanjut, Dass menjelaskan bahawa tahap realisasi pelaburan diluluskan pada paras itu menjadi titik permulaan yang penting kerana ia membuktikan wujudnya aktiviti ekonomi sebenar, merangkumi kerja-kerja pembinaan, penambahan kapasiti pengeluaran serta penyertaan rantaian bekalan domestik.
Beliau menambah, bagi masyarakat umum, situasi ini menunjukkan ekonomi sedang bergerak terdapat projek berskala besar dan kecil dilaksanakan, dan apabila dijumlahkan, impaknya terhadap ekonomi negara adalah ketara.
Katanya lagi, data beberapa tahun terkini turut memperlihatkan kadar realisasi pelaburan yang stabil sekitar 75 hingga 80 peratus, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan serta aliran pelaburan swasta yang konsisten.
Menurut Dass, pasaran tenaga kerja juga berada pada landasan positif, bukan sahaja daripada segi kadar pengangguran rasmi yang kekal di bawah tiga peratus, tetapi turut disokong oleh peningkatan pekerjaan dalam sektor gig serta bentuk pekerjaan alternatif lain.
Secara keseluruhan, beliau berpandangan bahawa dasar kerajaan kini memainkan peranan baik dalam menyokong kestabilan ekonomi negara, meskipun kadar pertumbuhan ketika ini tidak terlalu agresif.
“Kita tidak semestinya mahukan pertumbuhan yang terlalu pantas dalam satu tahun dan perlahan pada tahun berikutnya kerana itu tidak stabil. Pelabur lebih menggemari pertumbuhan yang konsisten dan boleh dijangka,” katanya.
Menurutnya, dalam persekitaran global yang penuh ketidaktentuan, kestabilan menjadi kelebihan daya saing Malaysia berbanding negara lain, sekali gus meningkatkan kredibiliti negara sebagai destinasi pelaburan jangka panjang.
Sumber : Berita Harian