2026 Bermula Dengan Kejutan Harga Emas, Nilai Kini Cecah Tahap Tertinggi!

67

Dagangan logam berharga pada awal tahun 2026 bermula dengan nada positif apabila mencatat peningkatan kukuh pada Jumaat, meneruskan trend menaik yang terbentuk sejak tahun lalu. Prestasi memberangsangkan itu dipacu oleh ketidaktentuan geopolitik global serta jangkaan pelonggaran dasar monetari, yang terus mengukuhkan minat pelabur terhadap aset perlindungan nilai.
Pada jam 3.57 pagi GMT, harga emas spot melonjak 1.3 peratus kepada AS$4,372.02 seauns, bersamaan kira-kira RM570.20 segram. Kenaikan itu berlaku selepas logam berharga tersebut mencatat paras tertinggi sepanjang masa pada AS$4,549.71 pada 26 Disember lalu, meskipun ia sempat merosot ke paras terendah dua minggu pada Rabu.

Foto : Bernama

Sementara itu, kontrak niaga hadapan emas Amerika Syarikat bagi penghantaran Februari turut meningkat satu peratus kepada AS$4,386.40 seauns.

Ketua Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer, menjelaskan bahawa pasaran logam berharga kini menunjukkan pemulihan selepas ditekan oleh aktiviti pengambilan untung pada penghujung tahun lalu. Menurutnya, tekanan akibat pelarasan kedudukan pelabur semakin berkurang, sekali gus membuka ruang kepada harga emas untuk memulakan 2026 dengan peningkatan apabila asas pasaran kembali memainkan peranan utama.

Sepanjang 2025, harga emas melonjak sekitar 64 peratus, mencatatkan prestasi tahunan paling kukuh sejak 1979. Lonjakan luar biasa itu disokong oleh langkah penurunan kadar faedah, jangkaan pelonggaran dasar monetari selanjutnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), selain ketidaktentuan geopolitik, pembelian agresif oleh bank pusat serta peningkatan aliran masuk ke dalam dana dagangan bursa (ETF).

Di Amerika Syarikat, jumlah tuntutan baharu faedah pengangguran mingguan mencatat paras terendah dalam tempoh sebulan, namun keadaan pasaran buruh masih dianggap rapuh di bawah penggal kedua Presiden Donald Trump. Menurut Waterer, data tersebut tidak banyak mempengaruhi sentimen pasaran terhadap prospek pemotongan kadar faedah, yang kekal menjadi jangkaan utama pelabur.

Ketika ini, pasaran menjangkakan sekurang-kurangnya dua penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada 2026. Dalam persekitaran kadar faedah rendah, aset tanpa pulangan faedah seperti emas lazimnya terus mendapat sokongan.

Harga perak spot melonjak 2.8 peratus kepada AS$73.30 seauns, atau kira-kira RM9.56 segram, selepas sebelum itu mencatat paras tertinggi sepanjang masa pada AS$83.62 pada Isnin. Prestasi cemerlang itu melengkapkan penutupan tahun 2025 dengan kenaikan mendadak sebanyak 147 peratus, sekali gus mengatasi prestasi emas dan mencatatkan tahun terbaik dalam sejarah perak.

Lonjakan harga tersebut didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk pengiktirafan perak sebagai mineral kritikal di Amerika Syarikat, kekangan bekalan global serta paras inventori yang kekal rendah, ketika permintaan daripada sektor industri dan pelaburan terus meningkat.

Platinum spot melonjak 3.1 peratus kepada AS$2,116.40 seauns, bersamaan kira-kira RM276.02 segram, selepas mencatat paras tertinggi sepanjang masa pada AS$2,478.50 pada Isnin. Kenaikan tahunan sebanyak 127 peratus itu menandakan prestasi terbaik yang pernah dicatatkan untuk logam ini.

Sementara itu, paladium meningkat 2.2 peratus kepada AS$1,641.03 seauns, atau sekitar RM214.02 segram, menamatkan 2025 dengan kenaikan 76 peratus, prestasi tahunan terbaiknya dalam tempoh 15 tahun.

Sumber : Berita Harian-Reuters

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.