Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Sunway Medical Centre Penang Sdn Bhd (SMCPSB), anak syarikat milik Sunway Healthcare Holdings Bhd, bagi penjualan asetnya di Pulau Pinang dengan nilai RM60 juta.
Bernama melaporkan, dalam kenyataan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia Sunway REIT memaklumkan bahawa transaksi tersebut melibatkan penjualan Sunway Hotel Seberang Jaya bersama tanah dan aset-aset berkaitannya.
Pelupusan berkenaan dilakukan antara RHB Trustees Bhd selaku pemegang amanah Sunway REIT dan Sunway Medical Centre Penang Sdn Bhd (SMCPSB), yang merupakan entiti di bawah kumpulan Sunway Bhd.
Menurut Sunway REIT, pelupusan yang dicadangkan itu dijangka memberi keuntungan kasar kira-kira RM4 juta.
Hasil daripada penjualan bernilai RM60 juta itu pula akan disalurkan bagi tujuan pelaburan dalam pembangunan hartanah serta menampung kos berkaitan pelupusan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Penyempurnaan urus niaga pelupusan tersebut bergantung kepada sama ada semua syarat yang ditetapkan dalam perjanjian dipenuhi atau dikecualikan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh perjanjian itu ditandatangani.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.