Subsidi RON95 disasar tepat, kerajaan jimat RM800 juta dalam tempoh singkat

Kerajaan merekodkan penjimatan kira-kira RM800 juta sejak pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula 30 September lalu, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan itu didorong pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api yang lebih tepat, memastikan manfaat hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia serta mengekang ketirisan melibatkan lebih 3.5 juta warga asing dan aktiviti penyeludupan puluhan ribu liter minyak ke luar negara.

Foto : Bernama

“Setiap hasil penjimatan itu dipulangkan semula kepada penduduk melalui STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), selain digunakan bagi menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, isu penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu sejak lebih dua dekad lalu, namun tiada pentadbiran yang berani melaksanakannya sehingga Kerajaan MADANI mengambil keputusan tegas memperkenalkan BUDI95.

Menerusi program BUDI95, warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif layak membeli petrol RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter bagi harga tanpa subsidi.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

BUDI95kerajaanSubsidi