Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion dan pembayaran akan mula dikreditkan pada 20 Januari.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas bujang, dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada kategori kelayakan.
“Bagi pemohon baharu STR, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, pemohon hendaklah memastikan semua maklumat yang dikemukakan adalah tepat dan sahih.
Jika terdapat maklumat yang tidak benar atau mengelirukan, kerajaan berhak mengambil tindakan undang-undang serta membatalkan bantuan yang telah diluluskan sekiranya berlaku pelanggaran syarat.
Menurut MOF, bagi memastikan bantuan kerajaan lebih efektif dalam meringankan kos sara hidup, struktur pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 telah ditambah baik.
Melalui penstrukturan baharu ini, lebih 8 juta rakyat layak menerima SARA secara bulanan, termasuk 400,000 individu daripada kategori miskin dan miskin tegar berdasarkan data eKasih, menjadikan SARA sebagai bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan.
STR akan diagihkan setiap suku tahun kepada isi rumah dan warga emas bujang berpendapatan RM5,000 ke bawah, termasuk penerima miskin dan miskin tegar dalam eKasih.
Pendekatan ini membolehkan bantuan disalurkan secara lebih stabil dan teratur, serta membantu ketika waktu puncak seperti musim perayaan.
Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
“Kerangka Ekonomi MADANI mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Apakala rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Sumber : Malaysia Gazette
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.