Skandal Besar ATM: Bekas PAT Hadapi Tuduhan RM3 Juta Pecah Amanah

Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang pernah menerajui Angkatan Tentera Malaysia, hari ini berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen termasuk dakwaan menyalahgunakan jawatan untuk tujuan suapan, menerima wang berjumlah RM752,482 serta pecah amanah membabitkan dana RM3 juta.

Namun begitu, tertuduh berusia 60 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan dan memohon supaya dibicarakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Foto : BERNAMA

“Faham, tidak mengaku salah Yang Arif,” katanya.

Bagi dua tuduhan berkaitan penyalahgunaan jawatan, Mohd Nizam didakwa melakukannya ketika memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyalahgunakan jawatan bagi memperoleh suapan berupa wang tunai berjumlah RM267,481.90 untuk kepentingan peribadi, berkaitan pelantikan syarikat Sinar Bakti Global bagi melaksanakan kerja pembekalan kain pelikat sempena bungkusan Hari Raya 2025 bernilai RM468,000.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mempunyai kepentingan dalam pelantikan dua lagi syarikat, iaitu Sinar Raudhah Global yang diberikan kontrak pembekalan kain batik untuk bungkusan Hari Raya 2025 bernilai RM52,000, serta Zahra Jaya Global yang dilantik membekalkan peralatan multifunctional folding pliers bagi tujuan sama dengan nilai kontrak berjumlah RM750,000 kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

Berkaitan pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa menyalahgunakan jawatannya sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Angkatan Tentera Malaysia yang juga Pengerusi Tabung Kebajikan Angkatan Tentera, dengan tujuan memperoleh suapan wang berjumlah RM285,000 untuk kepentingan sendiri. Dakwaan itu berkait dengan pelantikan syarikat QMZ Resources bagi membekalkan tuala mandi untuk bungkusan Hari Raya 2025 dengan nilai kontrak RM600,000.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mempunyai kepentingan dalam pemberian kontrak kepada Helmee Resources yang dilantik bagi membekalkan beg galas untuk tujuan sama, melibatkan nilai keseluruhan RM1.725 juta kepada TKAT.

Foto : Berita Harian

Pendakwaan menyatakan kedua-dua perbuatan tersebut dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, pada 24 Jun 2024.

Kes berkenaan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda minimum lima kali ganda nilai suapan yang terlibat atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam, yang ketika itu memegang jawatan AKSPA dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, didakwa melakukan pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM3 juta milik TKAT.

Tertuduh disyaki menyalahgunakan wang tersebut dengan membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa memperoleh kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan ini didakwa berlaku di lokasi sama pada 4 Oktober 2024 dan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan, serta denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, Mohd Nizam, yang ketika itu menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera, didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 daripada Pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd, Wan Shafie Abdul Rashid, tanpa sebarang balasan. Tertuduh didakwa sedar bahawa pemberian itu mungkin berkaitan dengan urusan yang akan dijalankan olehnya.

Kesalahan itu dikatakan berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Mohd Nizam diwakili oleh peguam Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan.

Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM180,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 31 Mac ini.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

AmanahATMPAT