Selangor & Johor Ketatkan Syarat, Malaysia Masuk Era Pusat Data Bernilai Tinggi

Landskap pembangunan pusat data di Malaysia kini memasuki fasa baharu, beralih daripada pertumbuhan yang menekankan bilangan projek serta kapasiti besar kepada pendekatan yang lebih menumpukan nilai ekonomi dan kelestarian.

Berita Harian melaporkan, BIMB Securities Research memaklumkan bahawa Selangor dan Johor iaitu dua negeri yang mencatat permintaan tertinggi bagi pembinaan pusat data, telah mula mengetatkan syarat pelaburan bagi projek berkaitan.

Foto : Sedenak Tech Park

Menurutnya, peralihan kepada pertumbuhan berasaskan kualiti ini bukan bersifat sementara atau dipacu kitaran pasaran, sebaliknya mencerminkan perubahan struktur jangka panjang dalam industri.

Dalam hal ini, pengetatan peraturan dijangka mengehadkan jumlah kelulusan projek baharu, namun berpotensi meningkatkan skala purata projek, keperluan pelaburan modal serta nilai ekonomi yang dijana bagi setiap tapak pusat data.

“Selangor mengetatkan kriteria kemasukan pusat data untuk merancakkan limpahan ekonomi dalam negeri, sementara Johor pula mengehadkan pusat data yang menggunakan air yang banyak,” katanya dalam nota penyelidikan.

BIMB Securities Research memaklumkan bahawa Selangor telah mengetatkan syarat pelaburan pusat data dengan mewajibkan keperluan kandungan tempatan sebanyak 30 peratus di peringkat negeri, seperti dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, langkah dasar berkenaan diperkenalkan bagi menangani kebimbangan berterusan bahawa pusat data, yang bersifat berintensif modal, hanya memberikan kesan pengganda yang terhad kepada ekonomi domestik.

Dalam perkembangan berkaitan, Johor mengambil pendekatan yang bersifat pelengkap namun berbeza dengan memberi tumpuan kepada aspek kelestarian sumber.

Jelasnya, kerajaan negeri kini tidak membenarkan pembangunan pusat data Peringkat I dan Peringkat II yang baharu, yang kebiasaannya melibatkan penggunaan air yang tinggi.

Difahamkan, keputusan berkenaan diambil susulan kekangan struktur bekalan air mentah, apabila kebanyakan sumber hasil sungai sedia ada telah dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus mengehadkan keupayaan untuk menambah bekalan dalam jangka pendek.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.


JohorMALAYSIAPusat DataSelangor