Bursa Malaysia memaklumkan bahawa Pharmaniaga Bhd akan keluar daripada klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17) bermula jam 9 pagi Selasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bursa Malaysia menjelaskan syarikat tersebut telah memperbaiki kedudukan kewangannya dan tidak lagi memenuhi mana-mana kriteria yang ditetapkan di bawah Perenggan 2.1 PN17 dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
“Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan syarikat PN17 dan Nota Panduan 3 (GN3) berhubung pematuhan mereka terhadap keperluan penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Pharmaniaga Bhd, Zulkifli Jafar berkata kejayaan tersebut mencerminkan ketahanan organisasi serta tahap disiplin tinggi dan kerjasama padu seluruh warga kerja ketika berdepan tempoh yang mencabar.
Menurut beliau, selepas keluar daripada status PN17, syarikat itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan jangka panjang di samping memperluas keupayaan strategik merangkumi keseluruhan rantaian nilai dalam sektor penjagaan kesihatan.
“Ini menandakan permulaan fasa baharu bagi Pharmaniaga apabila kami beralih daripada menstabilkan perniagaan dan mengukuhkan asas kepada memacu pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Melangkah ke fasa seterusnya, Pharmaniaga Bhd memaklumkan bahawa kumpulan itu akan terus memperkukuh keupayaan dalam bidang farmaseutikal dan biofarmaseutikal, selain memperluas jejaknya di pasaran serantau dengan matlamat membina organisasi yang lebih kukuh serta berdaya tahan pada masa hadapan.
Pada 27 Februari 2023, syarikat berkenaan telah dikategorikan sebagai syarikat PN17 susulan cabaran kewangan yang dihadapi ketika itu.
Sejak itu, kumpulan berkenaan melaksanakan pelbagai langkah pemulihan bagi menstabilkan prestasi perniagaannya, dengan proses pemulihan tersebut disokong oleh peningkatan prestasi operasi yang semakin konsisten.
Bermula suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2024, Pharmaniaga mencatat keuntungan selama lapan suku berturut-turut, termasuk merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM48.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.