RM807 Juta Menanti! MR DIY Bakal Disenaraikan di Bursa Saham Thailand!

MR DIY Holding (Thailand) merancang untuk mengumpul dana sekitar RM807 juta atau 5.6 bilion baht melalui tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka disenaraikan di Bursa Saham Thailand pada 5 November ini.

Berita Harian melaporkan, syarikat tersebut dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 4.5 bilion baht daripada hasil kutipan IPO akan diperuntukkan untuk membina pusat pengedaran automatik yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem logistik dan rantaian bekalan.

Foto : The Edge Malaysia

Langkah itu dijangka membantu MR DIY mengembangkan rangkaiannya kepada lebih 1,500 cawangan selepas tahun 2027, selain memastikan kos operasi dapat diurus dengan lebih berkesan.

Difahamkan, syarikat peruncitan yang menjual barangan pembaikan rumah dan gaya hidup itu juga berhasrat untuk menambah sekurang-kurangnya 500 lagi cawangan baharu di seluruh Thailand antara tahun 2025 hingga 2027.

Harga saham IPO ditetapkan antara 8.30 hingga 8.60 baht sesaham, dan pelabur runcit boleh mula melanggan saham tersebut dari 20 hingga 22 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Andy Chin, menjelaskan bahawa pasaran runcit barangan pembaikan rumah di Thailand dijangka mencatat pertumbuhan tahunan purata (CAGR) sebanyak 5.4 peratus, meningkat daripada 182.6 bilion baht pada tahun 2024 kepada 237.8 bilion baht menjelang tahun 2029.

“Rantaian peruncit seperti MR DIY berkembang lebih pantas daripada pasaran keseluruhan dengan kadar CAGR 15.3 peratus. Kami kini peneraju pasaran dengan penguasaan sembilan peratus, namun bahagian pasaran satu digit ini menunjukkan potensi besar untuk diterokai,” katanya semasa pelancaran prospektus syarikat itu, semalam.

Menurut Chin, MR DIY Thailand berjaya merekodkan pendapatan berjumlah 16.2 bilion baht pada tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 28 peratus. Dalam tempoh yang sama, keuntungan bersih syarikat itu turut meningkat kepada 1.7 bilion baht, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 30 peratus.

Beliau berkata, hasil dana daripada IPO itu akan digunakan untuk mempercepat rancangan peluasan kedai, membangunkan sistem pengedaran automatik serta mengukuhkan rangkaian perniagaan bagi mencapai sasaran 1,500 cawangan menjelang tahun 2027.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa MR DIY Thailand kini menjadi peruncit barangan pembaikan rumah dan gaya hidup terbesar serta mencatat pertumbuhan terpantas di Thailand, dengan hampir 100 juta transaksi direkodkan sepanjang tahun lalu.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

bursaMRDIYThailand