Ringgit memulakan dagangan pada Selasa dengan sedikit pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), seiring ramalan mata wang tempatan berpotensi mencapai RM4.10 menjelang hujung tahun. Pergerakan ini dicetuskan oleh kenyataan dovish daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS yang melemahkan dolar.
Setakat jam 8 pagi tadi, ringgit didagangkan pada 4.1365/1470 berbanding dolar AS, sedikit meningkat berbanding penutup semalam pada 4.1370/1420.
Memetik laporan Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa ringgit dijangka terus menunjukkan pengukuhan, hari ini.
“Kadar pertukaran dolar AS-ringgit dijangka bergerak antara RM4.13 hingga RM4.15,” katanya sambil menambah bahawa bank itu telah menyemak semula ramalan akhir tahun ringgit kepada RM4.10 daripada RM4.15.
Langkah itu dilakukan susulan pengecilan jurang kadar faedah antara Kadar Dana Persekutuan AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa kedudukan fiskal negara yang lebih mantap turut memperkukuh sentimen terhadap ringgit, dengan defisit fiskal sembilan bulan tahun ini mencatat 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 4.1 peratus pada tempoh sama tahun lepas.
Pada pembukaan pasaran, ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain. Mata wang tempatan naik berbanding yen kepada 2.6366/6434 daripada 2.6392/6426, serta meningkat berbanding euro kepada 4.7652/7773 daripada 4.7700/7757.
Bagaimanapun, ringgit mencatat penurunan berbanding pound Britain kepada 5.4209/4346 daripada 5.4153/4219.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit menunjukkan prestasi yang bercampur-campur. Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1697/1783 daripada 3.1689/1730, serta melemah berbanding baht Thailand kepada 12.7776/8184 daripada 12.7324/7525.
Ringgit pula kekal stabil berbanding rupiah Indonesia pada 247.7/248.4 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.02/7.04.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.