Ringgit dilihat kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini meskipun sentimen pasaran masih tertekan susulan langkah People’s Bank of China (PBoC) menetapkan kadar hariannya baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, Pengarah SPI Asset Management, Stephen Innes menyatakan bahawa pasaran sekali lagi terjejas selepas PBoC menetapkan rujukan harian yuan China lebih rendah daripada jangkaan, sebagai usaha mengekang pengukuhan mata wang tersebut.
“Tindakan bank pusat China itu mengejutkan ramai penggiat pasaran serantau dan hanya menambah momentum penurunan terhadap ringgit.
“Susulan kedudukan yang lebih cenderung kepada dagangan singkat dolar AS, prospek masa terdekat ini kekal goyah walaupun sebarang pergerakan mendadak dijangka terhad dalam tempoh 24 jam seterusnya,” katanya kepada media.
Jelas Innes, pelabur sedang menantikan data ekonomi AS termasuk Perbelanjaan Penggunaan Peribadi yang akan diumumkan pada Jumaat dan laporan Pekerjaan Bukan Perladangan minggu depan.
Tindakan ini dilakukan bagi menilai sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengambil pendekatan dasar monetari yang lebih berhati-hati.
“Oleh itu, sehingga mendapat maklumat itu, ringgit berkemungkinan besar kekal di bawah tekanan dan memaparkan pendirian sebaliknya terhadap prospek ekonomi serta latar belakang pasaran serantau lebih lemah,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyatakan bahawa Indeks Dolar AS (DXY) terus berada pada paras tinggi apabila meningkat 0.43 peratus kepada 97.687 mata, didorong oleh sikap berhati-hati Fed dalam menurunkan kadar faedah utama.
“Pada masa sama, data pasaran perumahan AS menunjukkan peningkatan jualan rumah baharu kepada 800,000 unit pada Ogos yang melangkaui unjuran konsensus sebanyak 650,000 serta angka Julai sebanyak 652,000 unit.
“Susulan itu, ringgit dijangka terus diasak dalam jangka masa terdekat dan bergerak dalam julat 4.21 hingga 4.23 (berbanding dolar AS),” jelasnya.
Difahamkan, dalam sesi awal dagangan hari ini, ringgit menunjukkan pengukuhan berbanding beberapa mata wang utama.
Ringgit diniagakan lebih kukuh apabila naik kepada 2.8310/8346 berbanding yen Jepun daripada 2.8400/8436 pada penutup semalam, mengukuh kepada 5.6647/6714 berbanding pound Britain daripada 5.6761/6828, serta menokok kepada 4.9453/9512 berbanding euro daripada 4.9567/9626.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.