RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) terus mencadangkan pembelian saham 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dan kini meletakkan harga sasaran baharu pada RM3.56 berbanding RM2.81 sebelum ini. Peningkatan itu dibuat selepas menilai potensi pertumbuhan syarikat yang dijangka semakin baik hasil sokongan dasar fiskal kerajaan.
Setakat jam 10.28 pagi, saham 99 Speed Mart meningkat lapan sen kepada RM3.21 dengan lebih 5.33 juta saham didagangkan.
Memetik laporan Bernama, RHB Investment Bank memaklumkan bahawa 99 Speed Mart dijangka terus meraih manfaat besar daripada pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahman (SARA) di bawah Belanjawan 2026, yang memperuntukkan lebih RM3 bilion subsidi barangan keperluan asas tahun hadapan.
Katanya, lebih 1,400 cawangan 99 Speed Mart kini tersenarai dalam program SARA berdasarkan maklumat di laman web MyKasih. Penyertaan yang meluas itu dijangka membantu syarikat mengekalkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan berterusan.
“99 Speedmart berada dalam kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada peningkatan pendapatan boleh guna bagi kumpulan berpendapatan rendah selain trend perbelanjaan secara berhemat susulan peningkatan tekanan inflasi.
“Ini memandangkan rangkaian premis yang meluas serta menjadi pilihan pengguna dari segi pasar mini bagi membeli barangan runcit yang diperlukan,” katanya.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.