Pusat Perubatan Sunway Sekali Lagi Dinobat Hospital Terbaik Malaysia, Ranking Dunia Terus Melonjak!

Pusat Perubatan Sunway (SMC) di Bandar Sunway sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai hospital terbaik di Malaysia dalam senarai Hospital Terbaik Dunia 2026 yang diterbitkan majalah antarabangsa, Newsweek.

Hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini itu turut mencatat peningkatan memberangsangkan di peringkat global apabila berjaya menduduki kedudukan ke-138 dunia.

Foto : Berita Harian

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan yang konsisten berbanding kedudukan ke-193 pada 2025 serta tangga ke-233 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan usaha berterusan hospital tersebut dalam memastikan tahap kecemerlangan klinikal serta keselamatan pesakit sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long, berkata pihaknya berasa amat berbesar hati dengan pengiktirafan itu yang sekali lagi menobatkan SMC sebagai hospital terbaik di Malaysia.

“Kejayaan itu adalah hasil dedikasi tidak berbelah bahagi barisan doktor, jururawat, dan seluruh warga kerja, selain kepercayaan tinggi yang diberikan oleh pesakit serta rakan kerjasama di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Kami tetap komited untuk memperkukuh tadbirurus klinikal, meningkatkan keselamatan dan pengalaman pesakit, sertaterus melabur dalam kecekapan yang menyokong penjagaan berkualiti tinggi kepada komuniti kami,” katanya.

Kejayaan ini turut menempatkan SMC sebaris dengan beberapa institusi perubatan terkemuka dunia seperti Mayo Clinic di Amerika Syarikat, University Health Network di Kanada serta Singapore General Hospital di Singapura.

Penarafan berprestij tersebut dibuat selepas proses penilaian menyeluruh yang melibatkan lebih 2,500 hospital daripada lebih 200,000 institusi penjagaan kesihatan di seluruh dunia, merangkumi hospital kerajaan, universiti serta hospital swasta.

Kaedah penilaian merangkumi beberapa komponen penting termasuk tinjauan global yang melibatkan lebih 100,000 profesional perubatan, data pengalaman pesakit serta indikator kualiti hospital. Selain itu, penilaian turut mengambil kira tinjauan Patient-Reported Outcome Measures (PROMs) yang dijalankan oleh Statista bagi menilai keberkesanan rawatan berdasarkan maklum balas pesakit.

Sebagai hospital utama di bawah kumpulan Sunway Healthcare Group, SMC kini disokong lebih 300 pakar perunding sepenuh masa yang menyediakan rawatan menyeluruh merentasi lebih 80 bidang kepakaran serta 28 Pusat Kecemerlangan.

Pembinaan blok keenam yang dikenali sebagai Menara F atau Pavilion Kanak-Kanak dijangka meningkatkan kapasiti Pusat Perubatan Sunway kepada lebih 1,000 katil, sekali gus memperkukuh keupayaan pasukan perubatan pelbagai disiplin dalam menyediakan rawatan yang lebih menyeluruh dan khusus kepada pesakit.

Selain itu, SMC turut mencipta sejarah sebagai hospital pertama di Malaysia yang berjaya meraih tiga akreditasi kesihatan utama, iaitu Gold Seal of Approval daripada Joint Commission International, pengiktirafan daripada Australian Council on Healthcare Standards International, serta pensijilan oleh Malaysian Society for Quality in Health.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan bahawa standard kualiti perkhidmatan serta tahap keselamatan pesakit di hospital berkenaan memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Senarai Hospital Terbaik Dunia pula diterbitkan hasil kerjasama berterusan antara majalah antarabangsa Newsweek dan syarikat penyelidikan data global Statista.

Inisiatif ini diwujudkan bagi menilai prestasi hospital serta keberkesanan rawatan yang berfokus kepada pesakit merentasi pelbagai sistem kesihatan utama dunia, termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

HospitalPusat perubatanRankingSunway