Berdasarkan makluman daripada Bursa Saham, pegangan utama dalam jenama pakaian sukan Jerman, Puma akan dibeli oleh salah satu gergasi barangan suka China iaitu Anta Sports.
Anta dijangka memiliki kira-kira 29% saham Puma, sekaligus mengatasi keluarga bilionair Perancis, Pinault, sebagai pemegang saham terbesar.
Perjanjian itu menetapkan Anta akan memperoleh lebih 43 juta saham Puma daripada syarikat pegangan Pinault, Artemis, dengan harga 35 euro setiap saham, menurut kenyataan yang disiarkan di Bursa Saham Hong Kong.
Menurut kenyataan itu, urus niaga tersebut bernilai 1.51 billion euro (AS$1.79 bilion).
Anta menyatakan bahawa pegangan baharu itu dijangka dapat memperkukuh kehadiran dan reputasi jenamanya di pasaran barangan sukan global, sekaligus meningkatkan daya saing antarabangsa syarikat secara keseluruhan.
Berpangkalan di wilayah Fujian, tenggara China, syarikat itu tergolong antara pengeluar pakaian sukan terbesar di dunia.
Ditubuhkan pada 1991, Anta kini berperanan sebagai syarikat induk bagi beberapa jenama global melalui anak syarikatnya, Amer Sports, termasuklah Wilson, Arc’teryx dan Salomon.
Pada 2019, Anta memimpin satu konsortium untuk mengambil alih syarikat Finland, Amer, dalam satu transaksi bernilai kira-kira AS$5.2 bilion.
Dalam pada itu, Anta juga memiliki pengaruh pasaran yang besar di China bagi jenama pakaian sukan antarabangsa seperti Fila dan Descente.
Dalam kenyataannya hari ini, Anta menegaskan bahawa mereka akan mengekalkan identiti serta warisan kukuh jenama Puma, dengan sasaran memperkuatkan jenama itu supaya dapat mencapai potensi penuhnya.
Sumber : Berita Harian – AFP
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.