Public Gold Cipta Sejarah, Jadi Syarikat Malaysia Pertama Sertai Shanghai Gold Exchange !

Syarikat logam berharga bersepadu, Public Gold Group kini secara rasmi diterima sebagai ahli antarabangsa di Shanghai Gold Exchange (SGE), iaitu platform perdagangan emas paling berprestij di peringkat global.

Dengan pencapaian ini, Public Gold mencatat sejarah sebagai syarikat pertama dari Malaysia yang berjaya mencapai pengiktirafan tersebut.

Bernama melaporkan bahawa kejayaan ini menempatkan Public Gold sebagai peneraju dalam industri logam berharga di rantau ASEAN, selain membuka akses terus kepada rangkaian perdagangan global SGE, kemudahan penghantaran fizikal, serta kontrak emas yang dinilai dalam mata wang yuan Renminbi.

Foto : Google

Menurut syarikat itu, penyertaan tersebut turut memberi kelebihan kepada Public Gold untuk mendapatkan dan menghantar emas melalui rangkaian peti simpanan antarabangsa SGE yang terletak di lokasi strategik seperti Shanghai, Shenzen dan Hong Kong.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng menjelaskan bahawa pnyertaan dalam SGE bukan hanya satu kejayaan dari segi perniagaan, tetapi juga sebagai langkah strategik untuk menghubungkan Malaysia secara langsung dengan pasaran emas utama dunia.

“Dengan kehadiran yang semakin berkembang di Dubai, India, London dan seterusnya, Public Gold bersedia untuk membina rangkaian global yang benar-benar memberi manfaat kepada pelanggan kami serta industri emas Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain menjadi ahli SGE, Public Gold kini berada pada fasa akhir untuk mendapatkan keahlian dengan India International Bullion Exchange (IIBX) dan merancang untuk menembusi pasaran London, sekali gus memperluas kehadirannya ke salah satu pusat perdagangan emas terbesar dan paling berpengaruh di dunia.

“Dengan kehadirannya di Dubai iaitu pusat perdagangan emas utama di Asia Barat, Public Gold kini dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kerjasamanya di seluruh Asia, Timur Tengah dan tidak lama lagi, Eropah,” ujarnya.

Sebagai anggota Persatuan Emas Malaysia dan Singapore Bullion Market Association, Public Gold bertekad untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perdagangan logam berharga di peringkat global melalui operasi syarikat yang bersepadu sepenuhnya.

Sementara itu, Public Gold turut menyasarkan untuk beroperasi di seluruh rantaian nilai emas, meliputi perdagangan emas borong, produk simpanan runcit, perkhidmatan penyimpanan, serta penawaran emas yang mematuhi prinsip Syariah.

Tambahnya lagi, pengembangan ke pasaran SGE, IIBX dan London mencerminkan komitmen mereka untuk meningkatkan kecekapan sumber melalui penglibatan langsung dalam pasaran emas utama dunia, di samping membuka lebih banyak peluang eksport produk emas Malaysia ke China, India, Asia Barat dan Eropah.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

emasPublic GoldShanghai