Pos Malaysia Rasmikan Kenderaan Tanpa Pemandu Pertama di Malaysia !

Pos Malaysia Bhd mencatat pencapaian baharu dalam sektor logistik negara apabila memperkenalkan kenderaan autonomi (AV) pertama di Malaysia, membuka lembaran baharu ke arah operasi logistik pintar yang lebih lestari serta berasaskan teknologi digital.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha transformasi dan inovasi syarikat bagi mengukuhkan peranan Pos Malaysia sebagai peneraju logistik moden di peringkat domestik.

Foto : Berita Harian

Pelancaran tersebut dirasmikan hari ini oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik di antara Pos Malaysia dan Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd (ALS).

Kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, manakala ALS diwakili oleh Pengarah Urusannya, Alan Chong.

Inisiatif ini berpaksikan kepada Zelos, sebuah kenderaan logistik autonomi sepenuhnya yang beroperasi tanpa pemandu, menggunakan 100 peratus tenaga elektrik dan bebas daripada sebarang pelepasan karbon. Zelos direka khusus untuk penghantaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang berulang dan berskala tinggi, dari satu lokasi ke lokasi lain.

Sebagai rakan kongsi eksklusif di Malaysia, ALS bertanggungjawab untuk membawa masuk, menyesuaikan dan mengendalikan Zelos, sekaligus memberikan akses kepada salah satu platform logistik autonomi yang paling meluas penggunaannya di peringkat global.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar, menegaskan bahawa pengenalan kenderaan autonomi ini menandakan satu langkah penting dalam transformasi syarikat ke arah menjadi penyedia logistik yang moden, inovatif, dan mesra alam.

“Teknologi seperti Zelos bukan sahaja mewakili kemajuan dari segi automasi, malah berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api, mengoptimumkan laluan penghantaran dan meminimumkan pembaziran dalam operasi harian, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap kemampanan,” katanya.

Brewer menyatakan bahawa pengenalan kenderaan autonomi ini menandakan permulaan era baharu dalam industri logistik di Malaysia.

“Perintis autonomi ini adalah bukti komitmen kami terhadap inovasi, kecekapan, dan berkhidmat untuk masa depan negara.

“Kami amat berbangga memimpin perjalanan transformasi ini, dan kami bersemangat dengan potensi yang dibukanya untuk pelanggan kami dan seluruh negara. Ini adalah langkah pertama dalam perjalanan panjang dan menarik untuk Pos Malaysia,” ujarnya.

Inisiatif kenderaan autonomi ini turut diperkuatkan dengan sokongan rangkaian 5G daripada Digital Nasional Bhd (DNB).

Pada masa ini, Zelos mengendalikan lebih 15,000 kenderaan autonomi di beberapa negara termasuk China, Singapura, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menyokong pelbagai aplikasi logistik sebenar di peringkat global.

Pengalaman luas dan skala operasi antarabangsa ini menjadi asas yang kukuh untuk mempercepatkan penerapan logistik autonomi Tahap 4 di Malaysia.

Pengenalan kenderaan autonomi elektrik ini juga menegaskan komitmen Pos Malaysia terhadap Pelan Hala Tuju Kemampanan, yang memberi tumpuan kepada penyahkarbonan serta peningkatan kecekapan operasi.

Sebagai langkah permulaan, Pos Malaysia dan ALS akan melaksanakan projek Proof of Concept (PoC) selama enam bulan dalam keadaan operasi sebenar.

Projek ini dijalankan dengan kerjasama rapat bersama Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Futurise, bagi memastikan pematuhan terhadap rangka kerja peraturan, keselamatan, dan pembangunan kenderaan autonomi negara, seterusnya membuka jalan untuk penggunaan logistik autonomi yang lebih selamat, lestari, dan meluas di Malaysia.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

AutonomiKenderaanPos Malaysia