Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kini mengikuti rapat situasi semasa yang berlaku di beberapa lokasi di Timur Tengah sambil mengekalkan keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan semua kakitangan, ahli keluarga serta kontraktor yang terlibat dalam operasinya di rantau berkenaan.
Dalam masa yang sama, syarikat minyak dan gas negara itu giat berhubung serta menyelaras tindakan bersama Kementerian Luar Negeri Malaysia, Kedutaan Malaysia, wakil diplomatik negara lain, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menilai perkembangan terkini serta melaksanakan langkah pencegahan yang bersesuaian mengikut keadaan semasa.
“Setakat ini, tiada laporan mengenai sebarang ancaman langsung kepada kakitangan atau aset Petronas, dan operasi diteruskan seperti biasa,” katanya dalam maklum balas melalui emel kepada media.
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus mengukuhkan kedudukannya di Timur Tengah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk berperanan sebagai operator utama di Emiriah Arab Bersatu dan Oman, di samping mengekalkan aktiviti pengeluaran sedia ada di Iraq.
Di Oman, anak syarikat milik penuhnya, PC Oman Ventures Ltd, telah menandatangani perjanjian konsesi bersama kerajaan negara itu serta OQ Exploration and Production Batinah Offshore LLC sebagai rakan strategik bagi meneroka potensi minyak dan gas di Blok 18.
Kawasan luar pesisir Blok 18 yang terletak di timur laut Oman itu merangkumi lebih 21,000 kilometer persegi dan dikenal pasti sebagai antara blok penerokaan terbesar di negara berkenaan. Dengan ciri geologi yang pelbagai daripada perairan cetek hingga ke zon laut dalam kawasan ini membuka peluang penerokaan baharu yang berpotensi tinggi.
Pada tahun 2024, Petroliam Nasional Berhad berjaya memperoleh hak konsesi bagi penerokaan minyak dan gas di Blok Daratan 2 yang berada di kawasan Al Dhafra, Abu Dhabi.
Dalam perkembangan pasaran tenaga global pula, harga minyak mentah penanda aras Brent crude oil menunjukkan peningkatan ketara apabila naik 4.35 peratus, mencecah paras AS$81.12 bagi setiap tong setakat ini.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.