Pelaburan dari Turkiye kini menjadi antara penyumbang asing yang penting kepada ekonomi Malaysia, dengan nilai kumulatif dianggarkan mencecah hampir AS$154 juta atau melebihi RM500 juta setakat ini, sekali gus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkembangan itu membuktikan tahap keyakinan tinggi pelabur Turkiye terhadap persekitaran pelaburan negara, di samping memperkukuh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
“Banyak juga pelaburan yang kita terima daripada Turkiye dalam negara kita dan setakat ini mereka telah melabur hampir AS$154 juta, kira-kira RM500 juta lebih. Ini telah membuka peluang pekerjaan dan menunjukkan Turkiye adalah rakan ekonomi yang penting,” katanya kepada Buletin TV3 di Ankara, hari ini.
Dalam pada itu, Johari berkata, Turkiye bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pelaburan, malah muncul sebagai rakan dagang strategik Malaysia dengan nilai eksport tahunan hampir RM24 bilion sekali gus menunjukkan potensi besar untuk terus diperkasakan dan diperluaskan.
“Turkiye ini merupakan satu negara yang sangat penting bagi kita kerana perdagangan dengan Malaysia sangat besar. Di pihak Malaysia, kita mengeksport hampir RM24 bilion setahun,” ujarnya.
Menurut Johari, kerajaan telah merangka pelbagai inisiatif untuk memperkukuh perdagangan dua hala, selaras dengan kelebihan pasaran Turkiye yang majoriti penduduknya beragama Islam, sekali gus membuka peluang kerjasama yang lebih luas merangkumi pelbagai sektor.
Beliau menjelaskan, antara sektor strategik yang diberi penekanan ialah minyak sawit, petrokimia, besi dan keluli, di samping produk makanan serta pelbagai produk bernilai tambah lain.
Dalam usaha merealisasikan perancangan tersebut, katanya, MITI bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi meneroka peluang pelaburan baharu ke Malaysia, selain memperluas akses eksport tempatan ke pasaran Turkiye.
Difahamkan, Johari kini berada di Turkiye bersempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu dari 6 hingga 8 Januari.
Sumber : Harian Metro
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.