Syarikat China, Shandong Huifa Foodstuff Co Ltd, memilih Johor sebagai lokasi pelaburan baharu bernilai RM10 bilion, yang dijangka memberi impak besar kepada pembangunan industri makanan dan halal di negeri itu.
Memetik laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menyatakan bahawa pelaburan tersebut meliputi pelbagai sektor utama termasuk makanan sejuk beku, farmaseutikal, nutraseutikal, fesyen, selain bahan ramuan dan perkhidmatan pelancongan berasaskan halal.
Dalam satu hantaran di Facebook, Mohd Fared memaklumkan bahawa projek itu dijangka menghasilkan nilai eksport melebihi RM100 bilion (AS$25 bilion).
Ia juga dilaksanakan seiring dengan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Alhamdulillah, misi pelaburan dan perdagangan Kerajaan Negeri Johor ke China mencatat satu lagi kejayaan besar dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara PIJ Halal Ventures Sdn Bhd dan Huifa Food Supply Chain Technology Co Ltd.
“Langkah strategik ini memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab utama halal ASEAN, membuka ruang pelaburan baharu, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pemindahan teknologi, yang akan mempercepatkan transformasi ekonomi menjadi sebuah negeri maju sebagaimana hasrat dan pacuan pembangunan yang digagaskan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.