Pelabur Serantau Anggap Malaysia ‘Selamat & Stabil’, Kata ABAC

Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) menyatakan bahawa pemain industri masih menganggap Malaysia sebagai antara lokasi pelaburan paling berdaya saing di rantau ini.

Menurut Pengarah Sekretariat Antarabangsa ABAC, Antonio Basilio berkata pandangan tersebut lahir daripada keyakinan komuniti perniagaan serantau bahawa Malaysia merupakan destinasi pelaburan selamat, menarik serta didorong oleh kestabilan yang kukuh.

Foto : Janaan AI

“Malaysia dianggap sebagai salah satu destinasi utama untuk pelaburan memandangkan persekitaran makroekonominya yang stabil, dasar dan peraturan yang konsisten, infrastruktur yang kukuh,” katanya kepada Bernama semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi 2026.

Selain itu, pelbagai insentif seperti pengecualian cukai turut disediakan di Malaysia menjadikan iklim pelaburan lebih menarik dan mewujudkan sentimen positif dalam kalangan pelabur.

“Secara keseluruhan, ia membentangkan persekitaran yang sangat positif kepada pelabur. Mereka berasa selamat dan tahu bahawa sumber serta peraturan sudah sedia ada. Yang paling penting, ahli perniagaan menghargai kestabilan negara ini,” jelasnya.

Namun, menurut Basilio, syarikat yang beroperasi di Malaysia melihat isu kekurangan tenaga kerja berkemahiran khusus sebagai antara kebimbangan utama mereka.

“Salah satu perkara utama yang saya dengar ialah perniagaan kadangkala memerlukan kemahiran atau bakat khusus, dan mereka mendapati mungkin terdapat kekurangan kemahiran ini di Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa jurang itu amat ketara dalam peranan teknikal dan kepakaran.

Dalam ulasannya tentang strategi Malaysia untuk mengekalkan daya saing di ASEAN dan rantau APEC, Basilio menekankan bahawa menangani jurang kemahiran melalui pendidikan merupakan langkah yang amat penting.

“Bagi menangani cabaran utama ini, lebih banyak sumber perlu diterapkan ke dalam pendidikan, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau subjek STEM.

“Saya fikir ini sedang dibuat dan ia akhirnya, akan menangani kebimbangan itu,” ujarnya.

Menyorot masa depan, beliau menyatakan bahawa Malaysia memainkan peranan signifikan dalam APEC, sejajar dengan sokongan berterusannya terhadap usaha memperkukuh integrasi ekonomi.

“Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat integrasi ekonomi yang lebih rapat. Itulah sebabnya negara ini telah menandatangani sekitar 17 perjanjian perdagangan,” katanya.

Mengulas tentang peranan Malaysia dalam ASEAN, beliau menjelaskan bahawa setiap negara mempunyai kelebihannya tersendiri, Singapura dikenali sebagai pusat kewangan, Indonesia menonjol dengan populasi paling besar di rantau ini, manakala kekuatan Malaysia terletak pada ekonomi yang seimbang.

“Dari segi pendapatan per kapita dan sebagai lokasi untuk memberi perkhidmatan kepada negara lain di rantau ini, Malaysia adalah destinasi terbaik,” katanya sambil menambah bahawa prestasi pelancongan negara yang mantap seterusnya telah mencerminkan daya tarikannya kepada pelabur dan perniagaan.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

ABACASEANMALAYSIApelabur