Pelabur Emas Mungkin Raih Untung Besar Tahun Ini, Sasaran Harga Cecah RM640/Gram!”

Harga emas dijangka terus meningkat sepanjang 2026, dengan prospek kekal positif berikutan kombinasi faktor struktur global dan makroekonomi yang semakin mengukuhkan peranannya sebagai aset lindung nilai pilihan.

Dalam laporan penyelidikan terbaharu, BIMB Securities Research menjelaskan bahawa permintaan terhadap emas dijangka kekal tinggi susulan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik yang berlarutan.

Foto : Utusan Malaysia

Menurut firma itu, peningkatan risiko akibat konflik serantau, ketegangan geopolitik serta perpecahan ekonomi global mendorong pelabur memilih aset selamat, sekali gus mencetuskan aliran ‘flight-to-quality’ ke arah emas.

“Tinjauan kami untuk emas pada tahun 2026 kekal positif, disokong oleh gabungan pemacu makroekonomi dan struktur yang bersedia untuk mengekalkan trajektori menaiknya.

“Jangkaan kami terhadap harga emas kekal tidak berubah pada AS$4,900 seaun (RM640 segram),” katanya.

BIMB Securities Research turut menyatakan bahawa langkah bank pusat utama dunia menuju dasar monetari yang lebih longgar telah meningkatkan lagi sentimen positif terhadap emas.

Difahamkan, Rizab Persekutuan AS (Fed) bersama beberapa bank pusat utama lain dijangka terus mengambil pendirian monetari yang lebih ‘dovish’, termasuk kemungkinan meneruskan penurunan kadar faedah.

Gabungan kecenderungan tersebut serta risiko penyusutan dolar AS berpotensi menurunkan kos peluang untuk memegang emas, sekali gus menjadikan logam berharga itu lebih menarik sebagai penyimpan nilai.

Bagi aspek permintaan pula, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa pembelian emas oleh bank pusat kekal menjadi penyumbang utama kepada sokongan pasaran.

Firma itu menjelaskan bahawa bank pusat terutamanya dari negara membangun dijangka terus membeli emas bagi tujuan kepelbagaian rizab serta mengurangkan pergantungan kepada mata wang tertentu.

Selain itu, BIMB Securities Research turut memerhatikan bahawa permintaan terhadap emas kini melangkah ke sektor digital.

Kemunculan stablecoin berasaskan emas seperti Tether Gold (XAUt) dilihat sebagai petanda kepada segmen permintaan baharu yang semakin berkembang.

Firma tersebut menambah bahawa inovasi berkenaan bukan sahaja membuka akses yang lebih luas kepada emas, tetapi turut memperkukuh kedudukannya sebagai aset serba fungsi yang menghubungkan pasaran mata wang, bon kerajaan, ekuiti dan kini juga ekosistem kripto.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.


harga emaspelaburUntung