Pelabur asing kembali menjual di pasaran Asia minggu lalu selepas dua minggu membeli, dengan aliran keluar bersih berjumlah AS$1.71 bilion.
Memetik laporan Bernama, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 17 Oktober 2025 menyatakan bahawa hanya pasaran India, Korea Selatan dan Indonesia mencatatkan aliran masuk bersih asing, manakala pasaran lain mengalami jualan bersih yang didahului oleh Taiwan sebagai pasaran dengan aliran keluar terbesar di rantau ini.
“India meneruskan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih asing terbesar di rantau ini sebanyak US$968.5 juta, meningkat sebanyak 4.9 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.
“Korea Selatan meneruskan aktiviti belian bersih asing selama tiga minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak US$569.5 juta, manakala Indonesia melanjutkan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut- turut dengan mencatatkan belian asing bernilai US$117.9 juta,” katanya.
Di Malaysia, MBSB IB melaporkan bahawa pelabur asing terus menjual untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM962.8 juta.
Menurut laporan itu lagi, pelabur asing mencatatkan jualan bersih pada setiap hari dagangan minggu lalu, dengan jumlah tertinggi pada Isnin sebanyak RM393.5 juta, diikuti Selasa (-RM320.0 juta), Jumaat (-RM190.8 juta) dan Rabu (-RM47.5 juta).
“Aliran keluar paling kecil berlaku pada Khamis yang menyaksikan pengeluaran sederhana berjumlah RM11.0 juta,” ujarnya.
Bank pelaburan itu menjelaskan bahawa hanya tiga sektor mencatatkan kemasukan dana asing bersih pada minggu lalu, iaitu sektor produk pengguna dan perkhidmatan sebanyak RM518.9 juta, teknologi RM87.3 juta, serta pembinaan RM6.5 juta.
Sementara itu, tiga sektor utama yang merekodkan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (-RM835.5 juta), penjagaan kesihatan (-RM270.3 juta) dan utiliti (-RM106.7 juta).
MBSB IB menambah bahawa institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan jumlah belian sebanyak RM1.32 bilion.
Dalam masa yang sama, pelabur runcit tempatan terus mencatatkan jualan bersih bagi minggu keenam berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM357.4 juta.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu, dengan peruncit tempatan dan pelabur asing masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 26.7 peratus dan 18.7 peratus, manakala institusi tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 4.3 peratus,” ujarnya.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.