Paramount ‘Sailang’ Netflix ? Tawar RM445 Bilion Untuk Kuasai Warner Bros Discovery!

Konglomerat media Amerika Syarikat (AS), Paramount Skydance muncul dengan tawaran baharu bernilai AS$108.4 bilion (RM445.6 bilion) bagi mengambil alih Warner Bros Discovery (WBD), lapor agensi berita Jerman, dpa.
Mengikut pecahan tawaran, Paramount menawarkan AS$30 (RM123.32) sesaham bersamaan premium 139 peratus daripada harga saham WBD iaitu AS$12.54 (RM51.55) setakat 10 September.

Foto : Reuters

Menariknya, pada Jumaat lalu Netflix sudah pun mengumumkan bahawa ia bersama WBD menandatangani ‘perjanjian muktamad’ untuk pengambilalihan tersebut, merangkumi studio filem dan televisyen, HBO Max dan HBO.

Dalam satu kenyataan, Paramount memaklumkan bahawa tawaran pengambilalihan yang dikemukakan merangkumi keseluruhan operasi Warner Bros Discovery (WBD), termasuk unit Global Networks.

Tawaran tersebut mendapat sokongan keluarga Ellison serta RedBird Capital, di samping pembiayaan hutang daripada Bank of America, Citi dan Apollo Global Management.

Paramount kini dipimpin oleh David Ellison, yang juga anak kepada pengasas bersama Oracle dan penyokong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Larry Ellison.

Sebarang pihak yang ingin mengambil alih WBD bagaimanapun perlu melalui proses kelulusan persekutuan.

 “Tawaran ini menyediakan nilai strategik dan kewangan yang lebih kukuh kepada pemegang saham WBD serta selain alternatif lebih baik berbanding transaksi bersama Netflix,” kata Paramount dalam satu kenyataan media.

Paramount menjelaskan bahawa tawaran komprehensifnya terhadap WBD memberikan nilai tambahan kira-kira AS$18 bilion (RM74 bilion) kepada para pemegang saham berbanding jumlah tunai yang ditawarkan oleh Netflix.
Bidaan itu digambarkan sebagai “hostile bid” kerana dibuat selepas enam cadangan dihantar dalam tempoh 12 minggu, namun Paramount mendakwa pihak WBD tidak memberikan sebarang maklum balas yang signifikan sepanjang tempoh tersebut.

Keadaan itu mendorong Paramount membawa tawaran mereka terus kepada pemegang saham WBD serta lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Tawaran tender tersebut, yang telah diluluskan sebulat suara oleh lembaga pengarah Paramount, dijadualkan berakhir pada jam 5 petang (2200 GMT) di New York pada 8 Januari, kecuali jika tempohnya dilanjutkan.

Sumber : Bernama -dpa-

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

NetflixParamountWarner Bros