Mind-Blowing! Tandas Jepun Kini Analisis Najis Untuk Check Tahap Kesihatan?

Pengeluar tandas dari Jepun kini tampil dengan inovasi baharu dalam usaha menarik minat pengguna yang mengutamakan kesihatan, menurut laporan Kyodo News. Menerusi teknologi terbaharu, syarikat tersebut memperkenalkan sistem analisis najis terus pada tandas.

Toto Ltd menambah dua model mewah terbaharu dalam siri Neorest pada Ogos lalu. Model baharu ini disertakan modul sensor di bahagian mangkuk yang mampu mengimbas sisa buangan dengan bantuan LED lalu menilai bentuk, kuantiti serta tona warna.

Foto : Bernama-Kyodo

Teknologi ini merupakan yang pertama direka khusus untuk penggunaan domestik di Jepun. Sistemnya mampu mengkategorikan tekstur dan bentuk najis kepada tujuh jenis, manakala isipadu serta warnanya direkodkan dalam tiga tahap berbeza.

Melalui aplikasi telefon pintar, pengguna boleh memantau perubahan atau keadaan najis mereka dari semasa ke semasa. Berdasarkan data yang direkodkan, aplikasi turut memberikan saranan diet dan pemakanan contohnya mencadangkan agar pengguna menambah jumlah sayuran dalam pemakanan harian.

Menurut seorang wakil syarikat, tujuan utama produk baharu itu adalah untuk menjadikan rutin ke tandas setiap hari sebagai satu langkah ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Dalam masa yang sama, Panasonic Corp. turut menghasilkan sebuah alat khas dikenali sebagai Toirepo yang disasarkan untuk penggunaan dalam sektor penjagaan warga emas dan kejururawatan. Peranti tersebut dipasang pada tandas bagi mengesan serta merekod data seperti masa, kadar kekerapan dan jumlah perkumuhan para penghuni.

Beliau menjelaskan bahawa kaedah pemeriksaan manual yang biasa diamalkan sebelum ini bukan sahaja kurang selesa untuk penghuni, malah turut menyulitkan tugas kakitangan. Oleh itu, kemunculan peranti terbaru ini mendapat sambutan positif.

Secara lebih luas, sektor penghasilan tandas di Jepun sudah lama terkenal kerana inovasinya yang menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan masyarakat. Antaranya termasuk pengenalan tandas bidet yang menekankan kebersihan dan keselesaan selepas penggunaan tandas gaya Barat mula diterima secara meluas, serta kemudiannya rekaan menjimatkan air apabila isu alam sekitar menjadi perhatian pengguna.

“Produk ini lahir daripada minda yang sangat ingin tahu,” kata Tsutomu Yamada, seorang penganalisis pasaran di Mitsubishi UFJ eSmart Securities Co., sambil menambah bahawa industri itu masih mempunyai ruang untuk pengembangan lanjut.

Sumber : Bernama-Kyodo

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

JepunKesihatanTandas